Bekas pengetua dilepas, dibebas tuduhan amang seksual

Bekas pengetua dilepas, dibebas tuduhan amang seksual

Hakim Noor Aini Yusof membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Zainuren Mohamed, 58, di akhir kes pendakwaan.

Bekas pengetua sekolah, Zainuren Mohamed mengucapkan terima kasih kepada peguamnya, E Gnasegaran di luar mahkamah di Butterworth hari ini.
BUTTERWORTH:
Seorang bekas pengetua sekolah dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki pada 2018.

Hakim Noor Aini Yusof membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zainuren Mohamed, 58, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Aini berkata, mahkamah mendapati saksi yang dipanggil tiada kredibiliti berdasarkan keterangan mereka.

“Secara ringkasnya, alasan mahkamah ke atas saksi-saksi, mahkamah mendapati terdapat banyak kelemahan dalam kes pendakwaan, sekiranya mahkamah panggil kes ini untuk bela diri dan tertuduh memilih untuk berdiam diri, maka adalah tidak selamat untuk mahkamah mensabitkan kesalahan berdasarkan keterangan yang ada.

“Selain itu, kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi utama, iaitu rakan mangsa, Fikri, turut menyumbang kepada keputusan mahkamah. Alasan penuh akan dikemukakan, sekiranya pihak pendakwaan mengemukakan rayuan,” katanya.

Aini mengarahkan Zainuren dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri dan wang jaminan dipulangkan kepada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Zainuren didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar berusia 13 tahun di bilik khas pengetua, di sebuah sekolah di Permatang Tok Jaya, di sini, pada 9.30 malam 6 April 2018.

Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi pelajar lelaki berusia 13 tahun di asrama sekolah berkenaan pada 11.40 malam antara 9 Julai dan 13 Julai 2018.

Untuk pertuduhan ketiga dan keempat, Zainuren didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang murid berusia 11 tahun di bilik khas pengetua pada 4 petang 10 Okt 2018 dan melakukan perbuatan sama terhadap seorang pelajar berusia 14 tahun di asrama sekolah itu pada 11 malam pada tarikh sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh diwakili peguam E Gnasegaran, Audrey Wee dan S Vikneshwaran.

Gnasegaran memberitahu pemberita di luar Mahkamah bahawa tertuduh yang hadir ke mahkamah ditemani isteri hari ini berasa lega kerana keputusan itu membersihkan namanya yang tidak bersalah.

“Mahkamah mendapati keterangan saksi yang dipanggil, termasuk empat saksi awam, dua guru, seorang murid dan ibu murid, tiada kredibiliti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.