Selangor adakan mesyuarat khas bincang isu bekalan ayam

Selangor adakan mesyuarat khas bincang isu bekalan ayam

Exco Selangor, Izham Hashim berkata, bekalan ayam di Selangor memang tidak mencukupi sebelum ini, dengan hanya 35 hingga 40% ialah ayam keluaran tempatan dan selebihnya diimport.

Menurut exco Selangor, permintaan tinggi terhadap ayam ketika musim perayaan serentak dengan kenaikan harga makanan ternakan itu dikesan antara punca bekalan ayam terjejas di negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Exco Selangor, Izham Hashim berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan hari ini untuk meneliti dan membincangkan isu bekalan ayam di negeri itu.

Katanya, mesyuarat itu akan membabitkan jabatan serta agensi di bawah Jawatankuasa Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Selangor.

“Kita dijangkakan memperoleh ‘outcome’ daripada mesyuarat itu nanti.

“Saya juga sudah meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri menghubungi semua pembekal dan penternak ayam di Selangor bagi memeriksa status terkini bahan mentah itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Izham berkata, permintaan tinggi terhadap ayam ketika musim perayaan serentak dengan kenaikan harga makanan ternakan itu dikesan antara punca bekalan bahan mentah itu terjejas di Selangor.

Beliau difahamkan jangkitan penyakit ayam di ladang turut menyumbang kepada penurunan bekalan ayam.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenainya setakat ini dan masih menyiasat sama ada Selangor sedang menghadapi masalah bekalan ayam import dari Thailand dan China yang membabitkan kebergantungan kira-kira 60%.

Katanya, bekalan ayam di Selangor memang tidak mencukupi sebelum ini dengan hanya 35 hingga 40% merupakan ayam keluaran tempatan dan selebihnya diimport.

“Oleh itu saya perlu melihat kedua-duanya. Kadangkala apabila bekalan kita (ayam keluaran tempatan) OK tetapi import pula terganggu, sama sahaja impaknya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.