
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, penubuhan TPNS adalah salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah 2015-2023.
“Usaha berkenaan juga selaras dengan salah satu teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 9 Dis 2021 sebulat suara meluluskan Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021, yang memperuntukkan dana untuk pendidikan di Sabah yang mula berkuat kuasa 1 Jan tahun ini.
Hajiji berkata, beberapa inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) selepas mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai usaha menyokong pembangunan pendidikan di negeri ini.
“Ini termasuk menyumbang sebanyak 10,000 komputer riba kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 di Sabah. Dalam Belanjawan Sabah 2022, kerajaan turut memperuntukkan bantuan sosial sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis yang membabitkan 289,204 murid dengan peruntukan sebanyak RM13.9 juta.
“Kerajaan negeri juga komited dalam meneruskan lagi dua bentuk bantuan khas pendidikan yang diperkenalkan pada tahun 2021, iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (Budi) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (Bakti) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM17.5 juta,” katanya selain menambah bahawa seramai 5,000 pelajar mendapat bantuan Budi manakala 40,000 pelajar menikmati bantuan Bakti tahun lalu.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga memperkenalkan bantuan dana bagi lebih 1,500 PIBG sekolah di Sabah dalam inisiatif yang dinamakan Bagus dan bantuan bagi peralatan komputer di sekolah-sekolah yang dinamakan Bisbah.
“Kita turut memberi tumpuan kepada sekolah vernakular dan badan agama bukan Islam di negeri ini dengan sejumlah RM47 juta diperuntukkan untuk badan agama bukan Islam serta sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah persendirian di Sabah pada tahun ini.
“Ia mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk memastikan kebajikan semua kaum dan agama di Sabah akan terjaga,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, Hajiji menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2022 kepada Nuinda Alias manakala Anugerah Tokoh Kepimpinan kepada Madaile Basri.
Beliau turut melancarkan Buku Tawag Tokoh Guru Sabah yang diterbitkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.