Polis nafi dakwaan salah guna kuasa terhadap orang awam

Polis nafi dakwaan salah guna kuasa terhadap orang awam

Polis mengesyaki lelaki itu membeli nombor ekor tidak sah melalui aplikasi mudah alih di gerai makan.

Polis membebaskan lelaki terbabit tanpa syarat selepas proses dokumentasi.
PETALING JAYA:
Polis menafikan dakwaan seorang lelaki mengenai tindakan dua anggotanya melakukan pemerasan ketika menahannya untuk membuat pemeriksaan di sebuah gerai makan di Cheras.

Penafian itu dibuat susulan dakwaan lelaki terbabit di Twitter bahawa pegawai terlibat cuba merampas telefon bimbitnya selepas terlihat perkataan “MKT” dalam aplikasi WhatsApp.

Menerusi bebenang di Twitternya semalam, dia mendakwa polis mengikutnya hingga ke rumah ibu bapanya selepas beredar dari lokasi kejadian.

Dia mendakwa, selepas berunding dengan polis, dia telah “dijemput” ke Ibu Pejabat Polis Daerah di mana dia kemudian dibebaskan.

Ketua Polis Cheras, Muhammad Idzam Jaafar berkata, pegawainya mengesyaki lelaki itu membeli nombor ekor tidak berlesen melalui aplikasi mudah alih di gerai makan itu.

“Polis tidak sembarangan memeriksa telefon bimbit seseorang. Pegawai saya melakukannya selepas menyedari lelaki itu membeli nombor ekor di telefonnya.

“Dia mendakwa apabila pegawai polis itu menaip ‘MKT’ dalam WhatsAppnya, dia hanya tahu perkataan itu sebagai ‘Market’. Itu mengarut.

“Kami tahu MKT adalah singkatan untuk Magnum, Kuda (dan Toto). Apabila dia melarikan diri daripada polis, dia berjaya memadamkan aplikasi berkenaan untuk menghapuskan bukti,” katanya kepada FMT.

Polis membebaskannya tanpa syarat selepas proses dokumentasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.