Pemilihan PKR: 8 bahagian undi semula, keputusan ditangguh

Pemilihan PKR: 8 bahagian undi semula, keputusan ditangguh

Pengundian semula di lapan bahagian itu disebabkan beberapa masalah termasuk teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

Sebanyak 57 daripada keseluruhan 222 bahagian merekodkan kemenangan tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat bahagian pada Pemilihan PKR 2022. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengundian fizikal semula Pemilihan PKR 2022 bagi lapan bahagian di empat negeri akan dilaksanakan sebelum akhir bulan ini dan keputusan tidak rasmi pemilihan parti hanya akan diketahui selepas proses pengundian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya belum memuktamadkan tarikh bagi pengundian semula di lapan bahagian melibatkan Gua Musang, Pengkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan, Dungun (Terengganu), Hulu Selangor (Selangor) dan Padang Serai (Kedah).

Beliau berkata, pengundian semula di lapan bahagian itu disebabkan beberapa masalah termasuk isu teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

“Kita juga menerima bantahan di beberapa bahagian dan JPP sedang berbincang serta menilai semua bantahan tersebut. Jika terpaksa membuat pengundian semula, kami akan lakukan juga secara serentak dengan pengundian lapan bahagian tersebut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Justeru beliau berkata, keputusan tidak rasmi pemilihan parti yang dijadualkan untuk dipaparkan di laman web rasmi PKR hari ini terpaksa ditangguhkan dan ia hanya akan diketahui dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian semula bahagian berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan lima bahagian di Kelantan, Dungun dan Padang Serai mengalami masalah teknikal ketika pengundian fizikal manakala bahagian Hulu Selangor terpaksa ditangguhkan berikutan peralatan logistik seperti kerusi dan meja tidak disediakan.

Sementara itu, Zaliha memaklumkan sebanyak 57 daripada keseluruhan 222 bahagian mencatatkan kemenangan tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat bahagian pada Pemilihan PKR 2022.

Katanya, sebanyak 12.22%, iaitu 136,629 ahli PKR telah mengundi dalam pemilihan parti setakat semalam, termasuk 76,932 yang mengundi secara dalam talian sejak 18 Mei sehingga 20 Mei.

Seramai 1,118,423 ahli PKR layak mengundi pada Pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, bahagian dan sayapnya.

Pencalonan bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMK) dan Majlis Wanita Keadilan Pusat (MPWP) dijadualkan pada 28 Mei.

Pengumuman rasmi calon yang menang jawatan pada Pemilihan PKR 2022 akan diumumkan pada 25 Jun depan sempena Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua Wanita dan ketua Pemuda akan diumumkan pada 24 Jun, pada kongres tahunan masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.