
PUTRAJAYA: Semua pejabat imigresen di pusat transformasi bandar (UTC) di Semenanjung akan beroperasi hingga 10 malam bermula Rabu ini bagi memudahkan urusan orang ramai mendapatkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).
Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata bagaimanapun, pejabat UTC di Perlis, Terengganu dan Pahang hanya beroperasi hingga 6 petang kerana jumlah permintaan PMA masih rendah.
“Pemanjangan waktu operasi UTC ini adalah tambahan kepada waktu operasi pejabat pengeluar PMA yang dibuka hingga 10 malam dan Sabtu, seperti yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai juga diminta merujuk kepada maklumat terkini dalam portal rasmi dan media sosial rasmi Jabatan Imigresen bagi mengelak berlaku kesesakan di kaunter PMA khususnya di waktu pagi.