
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bagi mencapai sasaran itu kerajaan persekutuan perlu berusaha membantu pesawah terutama di negeri itu menanam padi lima kali dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata, ia juga sebagai persediaan negara menghadapi krisis kekurangan bekalan makanan dunia yang dijangka berlaku pada 2025 sehingga memberi kesan terhadap peningkatan harga makanan di semua peringkat.
“Saya dimaklumkan jika padi ditanam lima kali dalam tempoh dua tahun, kita tak perlu import beras. Beras import harganya mahal, jadi kita kena lengkapkan infrastruktur dan kerajaan persekutuan perlu sediakan subsidi padi kepada pesawah.
“Sekiranya mahu Kedah jamin bekalan makanan negara, kerajaan persekutuan perlu bantu sehingga padi dapat ditanam lima kali dalam tempoh dua tahun,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Pada 19 Mei lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mengumumkan permit import (AP) masih diperlukan untuk mengimport beras.
Kenyataan itu menyusul pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebelum itu berhubung pemansuhan AP untuk pengimportan bahan makanan.