
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan menyifatkan kebocoran data terbaru itu sebagai “isu berulang” yang menyerlahkan kurangnya kesungguhan kerajaan untuk mencari penyelesaian terbaik.
“Penyiasatan yang telus berhubung pelanggaran (privasi data) tersebut sangat diperlukan dan hasil siasatan harus dikongsi dengan rakyat,” katanya.
“Seterusnya Jemaah Menteri harus mengkaji kelemahan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan undang-undang lain sedia ada serta membincangkan hasil dapatan dan cadangan penyelesaian untuk menyokong dan mengukuhkan kerangka yang ada.”
Beliau berkata, sistem keselamatan siber yang lebih utuh perlu diwujudkan bagi memastikan pelanggaran seperti itu tidak berulang.
Baru-baru ini dilaporkan bahawa satu set data yang dikatakan milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dijual dalam talian.
Menjawab laporan itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, set data itu bukan milik JPN.
Set data itu dikatakan mengandungi maklumat, termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar kira-kira 22.5 juta rakyat Malaysia yang dilahirkan antara 1940 dan 2004.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Kamarudin Md Din mengesahkan bahawa polis sedang menyiasat perkara itu.