Tiada lagi baur ‘kartel’, pemilihan serlah pembersihan PKR

Tiada lagi baur ‘kartel’, pemilihan serlah pembersihan PKR

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata tidak timbul isu 'hukum' ahli parti yang pernah dikaitkan dengan bekas timbalan presiden, Azmin Ali, pada pemilihan 2022.

Pemilihan PKR 2022 adalah peluang terakhir parti itu mengukuhkan kekuatannya sebelum pilihan raya umum ke-15.
PETALING JAYA:
Pemilihan 2022 barangkali akan menjadi titik perubahan PKR, untuk menyatu-padukan parti selepas pemergian kumpulan berpengaruh yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden, Azmin Ali.

Dua tahun selepas Langkah Sheraton, PKR tidak lagi dibayangi perpecahan dalaman mahupun ancaman serpihan “kartel” yang dirujuk sebagai penyokong tegar Azmin, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid.

“PKR melalui fasa baharu, tak ada lagi ‘kartel’ dalam PKR sebab semua dah keluar bersama bos-bos mereka. Pembersihan dah dilakukan,” katanya, yang bertanding untuk jawatan naib presiden kali ini.

Boleh dikatakan Azmin meninggalkan kesan besar kepada PKR. Pemergiannya seolah tamparan kepada Anwar Ibrahim dan gerakan yang berkerumun sekitarnya, selepas begitu lama mengikuti bekas timbalan perdana menteri itu.

Abdullah Sani Abdul Hamid.

Pada pemilihan PKR 2018, separuh daripada 800,000 ahli yang mengundi memilih Azmin untuk jawatan timbalan presiden, memintas pencabar, Rafizi Ramli, dengan kelebihan 3,956 undi.

Lantas timbul tanda tanya mengenai nasib penyokong Azmin dalam PKR. Apa pula sentimen dalam kalangan akar umbi terhadap mereka?

Menurut sumber yang bertanding, culaan awal mendapati Amirudin Shari – yang dahulu rapat dengan Azmin – merupakan calon popular. Populariti itu membuktikan tidak ada gerakan akar umbi menolak individu tersebut.

“Anggota dah ‘move on’ selepas presiden (Anwar) beri contoh yang baik, iaitu rangkum semua, adil kepada semua,” katanya kepada FMT.

“Macam kepimpinan di Selangor – yang dianggap ‘kartel’ ini – masih dilihat popular dalam kalangan anggota sebab mereka boleh bezakan antara isu politik lampau dan hala tuju ke depan.”

Katanya lagi, seramai 11,000 ahli tidak lagi bersama PKR dalam tempoh dua tahun ini, sama ada dipecat atau keluar parti.

Abdullah ketika dihubungi mengesahkan perkembangan tersebut.

“Kita terima seadanya mereka-mereka yang telah menginsafi apa yang telah mereka lakukan,” katanya kepada FMT.

Pemilihan kali ini peluang terakhir untuk PKR mencatu kekuatan menjelang PRU15. Kekalahan demi kekalahan yang dialami PKR dalam siri PRN sebelum ini sedikit sebanyak menggoyahkan keyakinan orang ramai terhadap parti, mendorong pemerhati menyimpulkan tiba masanya barisan kepimpinan bertukar.

“Tak timbul isu (individu yang dikaitkan dengan Azmin) dihukum akar umbi. Pemilihan semua OK,” kata Abdullah.

Setakat ini, selepas 11 negeri selesai membuang undi, pemilihan PKR berlangsung aman, malah nyaman tanpa kekecohan besar yang mewarnai beberapa kerusi panas pada pemilihan lepas.

Tumpuan kini pada pertembungan Saifuddin Nasution dan Rafizi untuk jawatan timbalan presiden. Di Selangor, bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bertembung Amirudin di Gombak.

Hasil pemilihan PKR 2022 dijangka diketahui hari ini dan esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.