
Ketua Polis Daerah Gombak, Zainal Mohamed Mohamed berkata, serbuan pada 10.45 malam itu sebaliknya dilakukan di perkarangan Dewan Beringin, Taman Sri Gombak di Gombak kelmarin.
Beliau turut menafikan suspek berusia 29 tahun yang ditahan itu bukannya petugas di pejabat penyelaras DUN Gombak Setia.
“Rampasan dilaksanakan dalam sebuah khemah di perkarangan Dewan Beringin, bukan dalam pejabat penyelaras DUN Gombak Setia seperti dakwaan yang tular,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Kosmo.
Difahamkan, seorang lelaki tempatan ditahan dalam operasi itu dan dua pil disyaki dadah eramin 5, satu botol dan lima bungkusan disyaki air ketum dirampas.
Zainal berkata, dewan terbabit adalah dewan serbaguna yang digunakan penduduk Taman Sri Gombak serta kawasan berhampiran.
Katanya, suspek direman empat hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar,” katanya.