Bekalan ayam kurang, tak capai berat standard, peniaga di Perlis catu jualan

Bekalan ayam kurang, tak capai berat standard, peniaga di Perlis catu jualan

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perlis berkata, langkah mencatu jualan ayam itu dilakukan peniaga sendiri supaya lebih ramai pelanggan boleh membeli ayam.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perlis, Dr Adam Abdullah Kwan berkata, beliau dimaklumkan pengeluar akan menghantar 13,000 ekor ayam ke Perlis hari ini.
PADANG BESAR:
Rata-rata peniaga ayam di Perlis mencatu penjualan susulan tindakan pengeluar menghentikan operasi buat sementara, dikatakan berpunca daripada berat ayam di ladang yang tidak mencapai standard untuk dipasarkan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perlis, Dr Adam Abdullah Kwan berkata, langkah mencatu jualan ayam itu dilaksanakan peniaga sendiri bagi membolehkan lebih ramai pelanggan mendapat peluang memperoleh bekalan ayam.

“Catuan dilaksanakan sendiri oleh penjual dan bukan daripada arahan penguat kuasa. Saya dimaklumkan pengeluar akan menghantar 13,000 ekor ayam ke peniaga di negeri ini hari ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Seorang peniaga ayam yang ditemui, Ismanizam Ismail, 40, berkata beliau menghadapi masalah apabila pengeluar tidak dapat membekalkan ayam mengikut jumlah ditempah.

“Saya tempah 200 ekor ayam, tetapi hanya dapat 20 ekor. Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun-tahun sebelum ini pula, biasanya saya dapat jual 1,000 ekor ayam, tetapi tahun ini hanya dapat jual 150 ekor ayam,” katanya.

Beliau berkata, bekalan ayam tahun ini paling merosot sejak sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari lepas.

Seorang lagi peniaga ayam, Wan Shahrul Wan Choh, 31 berkata beliau tidak berniaga semalam disebabkan tidak menerima bekalan ayam.

“Mungkin bekalan ayam ada, tetapi pengeluar tahan dulu keluaran ayam,” katanya sambil menambah bekalan ayam untuk Hari Raya Aidiladha nanti tidak boleh dijangka kerana bimbang tiada bekalan.

Pelanggan, Rogayah Ali, 38, terpaksa mencari dua atau tiga kedai untuk membeli ayam, bagi membolehkan beliau berniaga pulut ayam.

“Saya pernah terpaksa menutup kedai sehingga tiga hari kerana tiada ayam yang dapat dibeli,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.