
Namun begitu, kementerian itu menambah, tidak akan ada penurunan harga mendadak memandangkan pasaran menjangkakan larangan eksport itu hanya bersifat sementara.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan mengingatkan semua pengusaha kelapa sawit negara, termasuk firma perladangan dan pekebun kecil bertenang serta tidak terlalu bimbang dengan perkembangan itu.
Tambahan, katanya, penurunan harga MSM baru-baru ini sudah mengambil kira kemungkinan itu.
“Penganalisis pasaran turut menjangkakan pengusaha minyak sawit Malaysia bakal meraih faedah terbesar dalam jangka panjang kerana mereka mampu menjual MSM pada harga tinggi, sekali gus meningkatkan margin keuntungan bagi pertengahan kedua 2022, ditambah pengeluaran lebih tinggi tahun ke tahun dan suku ke suku.
“Walaupun penarikan larangan eksport memberi kelegaan besar kepada penanam Indonesia, mereka sudah terlepas tempoh harga MSM yang tinggi (Februari-April 2022) apabila harga minyak sawit Indonesia didagangkan pada diskaun lebih besar berbanding Malaysia, akibat dasar kawalan eksport yang dilaksanakan lewat Januari 2022.”
Dasar Indonesia manfaatkan Malaysia
Zuraida berkata, dasar Indonesia mampu memberi manfaat kepada Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, memandangkan ini membolehkan negara muncul sebagai pembekal dominan ke India, yang merupakan pembeli utama minyak makan dunia.
Cukai eksport Malaysia yang lebih rendah dan larangan eksport Indonesia mungkin menyebabkan sumbangan eksport minyak sawit Indonesia ke India jatuh kepada 35% pada tahun pemasaran semasa yang berakhir 31 Okt ini daripada lebih 75% sedekad lalu, menurut anggaran Solvent Extractors’ Association of India (SEA), badan perdagangan minyak sayuran.
Dalam lima bulan pertama tahun pemasaran 2021/22, India membeli 1.47 juta tan minyak sawit Malaysia berbanding 982,123 tan metrik tan dari Indonesia, berdasarkan data dikumpulkan SEA.
Untuk bulan ini, kata Zuraida, India dianggarkan mengimport sekitar 570,000 tan minyak sawit, dengan 290,000 tan dari Malaysia dan 240,000 tan dari Indonesia.
“Justeru, KPPK percaya harga MSM akan kekal pada paras tinggi, memandangkan ketidaktentuan pengeluaran minyak bijian utama (seperti kacang soya, jagung dan biji bunga matahari) sama ada disebabkan ketegangan geopolitik atau cuaca tidak menentu.
“Walaupun Indonesia akan menyambung semula eksport minyak sawitnya pada 23 Mei – hampir sebulan selepas mengenakan larangan pada 28 April – masih terdapat kemungkinan perubahan polisi memandangkan harga minyak sawit di pasaran domestik Indonesia belum turun ke tahap disasarkan (malah, penarikan balik larangan ini boleh mengakibatkan berulangnya kekurangan domestik di Indonesia).”
Memandangkan prospek jangka sederhana hingga panjang industri minyak sawit Malaysia kekal cerah, KPPK menyeru semua pengusaha kelapa sawit negara berganding bahu dalam menjayakan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan bagi menangkis pelbagai tanggapan salah berkaitan minyak sawit negara dalam memacu kejayaan komoditi ini di peringkat global.