
Dalam rakaman yang tular di media sosial hari ini, pesara swasta berusia 61 tahun itu ditumbuk sekurang-kurangnya tiga kali, termasuk disepak seorang lelaki memakai topi keledar, dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari.
Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata difahamkan ketika kejadian mangsa memandu bersama isteri serta cucu dalam perjalanan ke Putrajaya.
“Ketika sedang membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue (Seksyen 16), suspek yang menaiki motosikal berada di sebelah kiri kereta mangsa menjerit dan memarahi mangsa. Mangsa berhenti untuk memeriksa sekiranya ada perlanggaran.
“Selepas keluar dari kereta, suspek terus menendang mangsa di dada kiri. Lelaki itu juga mendakwa suspek duduk atas badannya dan menumbuk muka serta kepala mangsa bertubi-tubi yang menyebabkan mangsa mengalami bengkak bawah mata, kepala serta sakit bahagian rusuk,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok.
Katanya, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Nur Syuhada di talian 018 9124770.
Dalam rakaman video berasingan berdurasi 1 minit 21 saat, dipercayai lelaki memukul warga emas itu dikerumuni orang ramai yang cuba memukulnya di satu kawasan, namun seorang lelaki bertindak melindunginya.
Lelaki berpakaian kemeja-T berwarna kelabu dilihat menggunakan dua tangannya menutup muka dan kepala bertujuan seperti mahu mengelak dicederakan.