Isu sebenarnya larangan masuk sewenang-wenang, kata Ngeh berkait etika pakaian

Isu sebenarnya larangan masuk sewenang-wenang, kata Ngeh berkait etika pakaian

Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham berkata dia bukan meminta rakyat berpakaian tidak sopan di pejabat kerajaan tetapi mempersoalkan isu sebenar.

Ngeh Koo Ham mengingatkan Adnan Mat bahawa tidak ada undang-undang yang memberi kuasa kepada penjawat awam atau pengawal keselamatan untuk tidak membenarkan orang ramai masuk ke pejabat kerajaan berdasarkan etika berpakaian.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham memberitahu Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa beliau membantah cara yang boleh dipersoalkan mengenai etika berpakaian dilaksanakan di pejabat kerajaan tertentu.

Menurutnya, beliau juga bukannya meminta rakyat berpakaian tidak sopan ketika mengunjungi premis tersebut.

Ngeh memetik contoh keputusan sewenang-wenangnya untuk tidak membenarkan orang ramai masuk ke pejabat kerajaan oleh pengawal keselamatan.

Katanya, isu itu adalah mengenai menafikan perkhidmatan kepada mereka yang kononnnya gagal mematuhi etika berpakaian.

“Saya telah menerima banyak aduan daripada mereka yang tidak dibenarkan masuk ke pejabat kerajaan oleh pengawal keselamatan.

“Salah seorangnya adalah peguam yang pakaiannya boleh diterima di mahkamah tetapi tidak dibenarkan masuk ke jabatan pendidikan atas alasan skirt paras lututnya melanggar kod pakaian.

“Seorang wartawan televisyen mengadu dia tidak dibenarkan masuk ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaharui cukai jalan dengan alasan dia memakai baju T dan skirt paras lutut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ngeh berkata, seorang lelaki warga emas terpaksa pulang ke rumah yang terletak 15 kilometer (km) dari pejabat kerajaan untuk menukar seluar panjang sebelum dibenarkan masuk dan membuat pembayaran.

Semalam, Cuepacs membidas Ngeh yang didakwa cuba mempolitikkan isu etika berpakaian.

Presidennya Adnan Mat berkata syarat etika berpakaian adalah selaras dengan Rukun Negara.

Kesatuan yang menaungi penjawat awam itu berkata, permintaan supaya orang ramai berpakaian sopan ketika mengunjungi pejabat kerajaan adalah munasabah dan tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana parti politik.

Ngeh mempersoalkan bagaimana penjawat awam dan pengawal keselamatan diberi kuasa untuk membuat penilaian ini kerana tiada undang-undang memberi kuasa kepada pegawai kerajaan untuk menetapkan pakaian bagi mereka yang mendapatkan perkhidmatan di jabatan awam.

Katanya, Adnan tidak memahami etika berpakaian dikenakan oleh ketua jabatan dan gagal melihat masalah sebenar yang menjejaskan orang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.