
Pakar linguistik Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof James Collins, berkata kaedah digunakan Malaysia sebelum ini dengan menghantar buku berbahasa Melayu ke beberapa negara luar, dilihat sudah tidak strategik untuk mengembangkan bahasa itu.
Katanya, kebanyakan buku berbahasa Melayu yang dihantar ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Belanda sudah tidak digunakan, dihantar pulang atau tenggelam dalam koleksi buku lain yang lebih besar.
“Berpuluh ribu buku dihadiahkan ke perpustakaan Ohio University, tapi entah siapa yang pakai kerana universiti ini tidak pernah mengajar Bahasa Melayu.
“Semua buku bahasa Melayu yang dihadiahkan ke perpustakaan di Leiden, Belanda pula sudah diserahkan kembali. Sudah tiada ruang bahasa Melayu dan tiada lagi profil Malaysia di sana.
“Jika kerajaan benar-benar ingin mengantarabangsakan bahasa Melayu, bukan melalui simposium yang besar setiap tahun atau hadiahkan buku yang tenggelam dalam koleksi lebih besar.
“Lebih penting adalah mewujudkan program daripada pelbagai kementerian bagi menarik orang luar negara untuk belajar bahasa Melayu. Harus ada ramai guru bahasa dan fokus pada pendidikan bahasa Melayu (di luar negara),” katanya menurut laporan Berita Harian.
Berkongsi usaha menyebarkan bahasa Melayu di negara kelahirannya di AS, Collins mendedahkan kerajaan negara itu banyak menyumbang dana untuk membiayai pelajar yang mahu mengikuti pengajian bahasa Melayu.
Ketika membuka program pengajian bahasa Melayu di Northern Illinois University pada 2008, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar AS menyediakan dana untuk pelajar, khususnya bagi menyambung pengajian ke Malaysia selama dua bulan.
“Universiti juga mendapat dana Kementerian Pendidikan AS untuk menghasilkan kamus dalam talian Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu.
“Menariknya, semua dana itu daripada AS. Saya setuju bahawa kerajaan Malaysia yang harus mengeluarkan dana untuk menyediakan biasiswa kepada mahasiswa asing yang mahu belajar bahasa Melayu,” katanya.