BMW tak boleh nikmati subsidi sama seperti Kancil, kata Azmin

BMW tak boleh nikmati subsidi sama seperti Kancil, kata Azmin

Menteri itu berkata, ia bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga minyak mentah, khasnya bagi golongan berpendapatan rendah.

Azmin Ali berkata, kerajaan masih mengusahakan struktur yang sesuai berikutan lonjakan ketara dalam unjuran subsidi bahan api untuk 2022 kepada RM28 bilion, berbanding RM11 bilion pada 2021.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan mungkin memperkenalkan mekanisme bahan api yang disasarkan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak mentah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kerajaan masih mengusahakan struktur yang sesuai berikutan lonjakan ketara dalam unjuran subsidi bahan api untuk 2022 kepada RM28 bilion, berbanding RM11 bilion pada 2021.

“Kami bercakap tentang semakan itu dalam pemukiman (retreat) khas baru-baru ini.

“Mereka yang mempunyai BMW tidak boleh menikmati subsidi sama seperti mereka yang mempunyai Kancil,” katanya semasa sidang akhbar mengenai Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat.

Bulan lepas, Petronas Dagangan Bhd memaklumkan ia bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan berhubung mekanisme subsidi bahan api susulan peningkatan harga minyak mentah di peringkat global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, kerajaan masih mengusahakan struktur sesuai untuk mekanisme bahan api disasarkan, yang dijangka siap tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.