
Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak, berkata penahanan itu dibuat berikutan suspek merupakan seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 51 tahun dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah di negara ini.
“Suspek dipercayai orang yang memberi maklumat berkenaan melihat harimau berkenaan. Perkembangan berkenaan penemuan harimau oleh suspek masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, polis berkata akan meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan susulan tular mesej dan audio orang awam terserempak harimau dalam aplikasi WhatsApp.
Farouk berkata, setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung insiden itu, malah tiada saksi tampil untuk memberikan keterangan.
Dalam pada itu, Farouk berkata, satu laporan polis telah diterima, hari ini, menyatakan menerima satu audio mesej dalam aplikasi WhatsApp berhubung dakwaan tular melihat harimau di kawasan kejiranannya.
Beliau berkata, pengadu turut mendakwa mesej tular itu adalah tidak benar dan mendatangkan kegusaran dan kebimbangan kepada penduduk setempat memandangkan setakat ini tiada bukti jelas berhubung kehadiran harimau dikatakan itu.
“Satu kertas siasatan turut dibuka ke atas isu yang tular berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Pihak polis sekali lagi menyeru orang ramai agar tidak menghebahkan berita yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat,” katanya.