Lihat di luar insentif biasa, Kementerian Pelancongan digesa

Lihat di luar insentif biasa, Kementerian Pelancongan digesa

Pemain industri pelancongan tempatan meminta Kementerian Pelancongan melihat melepasi insentif yang disenaraikan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.

Pelancong domestik boleh menikmati insentif seperti diskaun, baucar dan rebat. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Persatuan pelancongan menyambut baik insentif untuk pelancongan domestik yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, tetapi mereka meminta lebih banyak perkara dilakukan untuk mempercepatkan pemulihan industri itu.

Jurucakap Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan (Matta), Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita) dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata, ahli persatuan menghargai usaha kerajaan setakat ini, tetapi Kementerian Pelancongan perlu melihat melepasi insentif yang disenaraikan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.

Insentif itu, yang ditawarkan kepada pelancong tempatan, diberikan dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

Naib Presiden Matta, Ganneesh Ramaa berkata, banyak perniagaan bergelut dengan aliran tunai kerana perniagaan tidak baik sejak dua tahun lalu dan ini menyukarkan mereka mendapat pinjaman daripada bank komersial.

Oleh itu, beliau mencadangkan kerajaan atau agensi berkaitan kerajaan menyediakan pinjaman mudah kepada syarikat yang memerlukan bagi membantu mereka.

Presiden Mita, Uzaidi Udanis berkata, kerajaan harus memperluaskan usahanya “melangkaui pemahaman biasa berhubung pelancongan” dan mencadangkan ia mempertimbangkan untuk memudahkan penyewaan kapal layar, rumah bermotor, penerbangan serta pelayaran.

“Kita tidak sepatutnya hanya membiayai pemain industri pelancongan biasa, tetapi perlu melihat gambaran lebih besar. Contohnya, industri kapal layar mempunyai banyak potensi, tetapi peraturan perlu dikurangkan.”

Katanya, menarik “pelancong berkualiti” berbanding kuantiti akan memberi lebih banyak manfaat kepada industri itu dan pelancong sedemikian akan menjaga alam sekitar dengan lebih baik.

Presiden MAH, N Subramaniam berkata, terdapat masalah dihadapi pengusaha hotel yang tidak ditangani dalam pelan pemulihan.

Merujuk rumah tamu, beliau menggesa kerajaan persekutuan mengikut jejak Pulau Pinang dalam merangka peraturan kerana hotel berdepan “saingan tidak adil” daripada penyedia penginapan tidak terkawal ini.

“Ia bukan persaingan adil. Kami membayar cukai dan mematuhi garis panduan kerajaan, tetapi kami perlu bersaing dengan mereka yang menyewa rumah mereka kepada pelancong.”

Beliau turut meminta subsidi upah untuk hotel serta industri terjejas ditingkatkan dan dilanjutkan sehingga mereka boleh berdikari semula.

“Bukan selama-lamanya, tetapi hanya kira-kira enam bulan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.