
Menterinya, Tengku Zafrul Abdul Aziz, dilapor mengusahakan cadangan menyediakan syarikat itu “pakej bantuan” dan geran, menurut laporan akhbar Edge Weekly, yang memetik sumber tidak dinamakan.
Laporan itu menyebut, pilihan lain dipertimbangkan membabitkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyalurkan lebih banyak wang kepada SEB, namun laporan itu menyatakan tindakan sedemikian akan berdepan tentangan pelabur susulan pemegang unit PNB belum menerima sebarang dividen daripada pelaburan sejak 2019 dalam firma berkenaan.
Sebelum ini, PNB menyalurkan kewangan berjumlah RM2.7 bilion kepada SEB, namun kehilangan 90% pelaburannya susulan kejatuhan nilai saham syarikat itu, kata laporan itu.
Ketika ini, SEB sedang menjalani penstrukturan semula hutangnya membabitkan bank, vendor dan kontraktor.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, berkata kerajaan perlu membuat pertimbangan teliti mengenai prestasi kewangan negara sebelum meminta Petronas mengambil alih SEB.
Bekas perdana menteri Najib Razak, mencadangkan Petronas mengambil alih SEB. Dalam debat perdana dengan Anwar Ibrahim, Najib berkata, SEB perlu diselamatkan daripada muflis demi mengelak ribuan pekerja kehilangan pekerjaan.
Katanya, Petronas sepatutnya mengambil alih sejumlah besar pegangan dalam syarikat itu atau langkah alternatif lain adalah bank menyediakan pinjaman yang dijamin kerajaan.
Bagaimanapun, Anwar berkata, kewangan SEB perlu diselesaikan dahulu, sambil menegaskan audit forensik dilakukan terhadap syarikat itu, dengan menyatakan pengambilalihan oleh Petronas terhadap SEB akan membabitkan berbilion ringgit.