
Ini menyusuli penyelesaian yang dicapai oleh pentadbiran Hajiji menerusi persefahaman dengan kerajaan pusat pada 14 April lepas yang menyaksikan tambahan pemberian khas itu daripada RM26.7 juta sebelum ini.
Penambahan besar itu menokok hasil kerajaan negeri yang sebelum ini meraih pendapatan RM5.4 bilion pada 2021, walaupun berdepan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Pencapaian itu adalah satu rekod susulan pelbagai pendekatan yang diambil kerajaan negeri untuk merangsang ekonomi, termasuk menarik pelaburan.
“Tambahan hasil negeri yang diperolehi melalui kenaikan pemberian khas itu akan kita kembalikan terus secara langsung kepada rakyat,” kata Hajiji dalam ucapan sempena majlis perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Pembinaan 1,500 buah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya itu merupakan inisiatif baharu kerajaan Sabah berkonsepkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di peringkat persekutuan.
Dalam pada itu, Hajiji mahukan kerjasama Putrajaya dalam memastikan rakyat Sabah memperolehi akses kepada pelbagai dasar dan program kerajaan persekutuan dan negeri.
Beliau mencadangkan agar kedua-dua kerajaan merintis inisiatif berkonsepkan karnival mini di peringkat bahagian dan daerah secara berperingkat.
“Program seumpama ini penting agar kita dapat menyemarakkan dan merakyatkan agenda kerajaan secara seiring dan meluas di peringkat akar umbi.
“Sebagaimana yang saya sering tegaskan, nilai dan makna agenda pembangunan seharusnya bukan hanya boleh didengar, tetapi harus dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat di semua peringkat.”
Pada majlis sama, Hajiji menegaskan bahawa pentadbirannya turut menekankan pendekatan kekeluargaan sebagai kerangka dalam pelaksanaan agenda pembangunan negeri, selaras konsep Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Tegasnya, pendekatan yang bersifat inklusif merentasi agama, bangsa, dan wilayah amat relevan bagi rakyat Sabah, bahkan norma kehidupan di negeri itu.
“Bagi kami di Sabah, institusi keluarga tidak pernah dibatasi perbezaan suku, agama dan budaya kerana realitinya begitu banyak keluarga di Sabah yang dibina atas kepelbagaian,” katanya.