Perkeso pertahan proses tuntutan berkaitan Covid-19 sebagai penyakit khidmat

Perkeso pertahan proses tuntutan berkaitan Covid-19 sebagai penyakit khidmat

Pertubuhan itu menegaskan tindakan itu mengikut SOP yang sepatutnya dan tertakluk sepenuhnya bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Menurut Perkeso, ILO mengeluarkan laporan berhubung klasifikasi Covid-19 sebagai penyakit khidmat oleh negara anggotanya di seluruh dunia.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempertahankan keputusan untuk memproses tuntutan berkaitan Covid-19 sebagai penyakit khidmat, bukannya bencana kerja seperti yang dilakukan sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, Perkeso menegaskan tindakan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya dan tertakluk sepenuhnya bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dengan Jadual Kelima menyenaraikan Covid-19 antara penyakit yang boleh dipertimbangkan sebagai penyakit khidmat.

Ia juga memberitahu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya merujuk laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung klasifikasi Covid-19 sebagai penyakit khidmat oleh negara anggota ILO di seluruh dunia.

Katanya, tuntutan faedah melibatkan Covid-19 diproses bawah kategori bencana kerja ketika fasa wabak dengan langkah-langkah diambil untuk mengenal pasti sama ada jangkitan berlaku di tempat kerja.

“Walau bagaimanapun, negara kini telah memasuki fasa peralihan ke endemik dan menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ia adalah keadaan di mana sesuatu penyakit sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat.

“Dalam fasa ini juga, jangkitan Covid-19 boleh berlaku di mana–mana sahaja,” katanya.

Sehingga 14 Mei, Perkeso menerima sebanyak 181,184 tuntutan faedah bagi kes Covid-19 dan daripada jumlah itu, lebih RM161 juta telah dibayar sejak pemberian faedah mula dilaksanakan pada 24 Feb 2021.

Kenyataan Perkeso itu adalah susulan kritikan MTUC terhadap langkah untuk memproses tuntutan faedah berkaitan Covid-19 bawah kategori penyakit khidmat.

Dalam kenyataan semalam, MTUC turut menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meneliti pengurusan dana Perkeso dan mencadangkan siasatan dijalankan bagi mengekalkan keyakinan pekerja terhadap organisasi itu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.