Masalah tren LRT berulang, penumpang luah kekecewaan

Masalah tren LRT berulang, penumpang luah kekecewaan

Ia kejadian ketiga melibatkan tren laluan Kelana Jaya.

RapidKL memaklumkan pasukan teknikalnya bertungkus-lumus menjalankan kerja pembaikan dan menasihatkan penumpang untuk mencari alternatif lain untuk bergerak ke destinasi masing-masing. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Lagi kes “kegagalan tren” di stesen KL Sentral menyebabkan penumpang LRT bagi laluan Kelana Jaya tergendala hari ini.

Kejadian ini dipercayai yang ketiga berlaku dalam dua minggu lalu.

Perkhidmatan ulang-alik telah diaktifkan antara stesen Bangsar dan Pasar Seni, menurut RapidKL dalam tweet pada 5.15 petang.

“Tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Bangsar dan tren dari Gombak akan berpatah balik di Pasar Seni.”

RapidKL juga memaklumkan pasukan teknikalnya bertungkus-lumus menjalankan kerja pembaikan dan menasihatkan penumpang untuk mencari alternatif lain untuk bergerak ke destinasi masing-masing.

Katanya, perkhidmatan bas ulang-alik disediakan secara percuma dari stesen Bangsar ke stesen Pasar Seni, melintasi stesen KL Sentral.

Pada 10 Mei, “kegagalan tren” telah mengganggu perkhidmatan laluan Kelana Jaya. Satu lagi kejadian seumpama itu dilaporkan sehari sebelum itu melibatkan laluan Ampang/Sri Petaling.

Netizen menggunakan media sosial untuk meluahkan kekecewaan mereka atas kelewatan hari ini, dengan pengguna Twitter @syoojjang menyatakan adalah “gila” bila tren rosak di KL Sentral.

Seorang lagi pengguna, @ShukClimbWalls, berkata RapidKL harus menyelesaikan apa sahaja yang melanda perkhidmatan LRT secepat mungkin.

“Hari Jumaat, orang baru nak balik. Keadaan di KL Sentral, Bangsar dan Pasar Seni satu kegilaan,” katanya.

Ketika diminta mengulas, jurucakap pengendali kereta api Prasarana mengesahkan kejadian itu dan berkata ia akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.