Lebih 5,000 individu kembali menagih dadah selepas dirawat pulih

Lebih 5,000 individu kembali menagih dadah selepas dirawat pulih

Jumlah itu adalah daripada 15,000 penagih yang selesai menjalani proses rawat pulih tahun lepas, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Hamzah Zainudin berharap pelaksanaan program MRT oleh AADK dapat mengurangkan kesesakan penjara dengan kalangan penagih yang dimasukkan sebelum proses rawatan dimulakan. (Gambar Bernama)
KAJANG:
Dianggarkan seramai 5,877 penagih yang selesai rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kembali menagih pada tahun lepas.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, jumlah itu adalah daripada 15,000 penagih yang selesai menjalani proses merawat pulih masalah penagihan.

“Pada 2021, klien (penagih) di AADK dalam komuniti berjumlah 73,113 orang dan dalam institusi berjumlah 7,133 orang. Setiap tahun, secara puratanya, seramai lebih kurang 15,000 klien ini selesai menjalani proses rawat pulih.

“Namun begitu daripada jumlah tersebut, kadar kepulihan klien hanyalah sekitar 65%, dengan anggaran 5,877 klien kembali menagih (relapse),” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) Bagi Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dadah AADK di Kajang.

Hamzah berkata, antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan mereka kembali menagih adalah kurang mendapat perhatian dan sokongan keluarga, pandangan serong masyarakat, sikap individu itu sendiri serta pengaruh kawan-kawan.

“Sehubungan itu, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap individu yang terlibat dengan permasalahan dadah mendapat akses kepada perkhidmatan rawatan dan pemulihan terbaik bersesuaian dengan keperluan dan keadaan semasa masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, MRT AADK ditubuhkan bagi memberi khidmat kepada kumpulan khusus yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di fasiliti AADK.

Perkhidmatan itu disediakan di luar premis AADK dan akan dilaksanakan oleh pasukan MRT di 14 pejabat AADK negeri di seluruh negara.

“Projek rintis MRT AADK ini telah dilaksanakan bagi banduan yang terlibat dengan penagihan dadah pada 2021 dan mendapat respons yang baik,” kata Hamzah.

Selain itu katanya, kerjasama antara AADK dan Jabatan Penjara Malaysia juga menjadi satu pendekatan penyelesaian masalah bagi mengatasi masalah banduan dadah yang kembali menagih.

“Ia juga bagi meningkatkan kadar pematuhan mereka untuk menghadiri Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dalam Komuniti AADK selepas dibebaskan kelak,” katanya.

Hamzah berharap pelaksanaan program MRT oleh AADK itu dapat mengurangkan kesesakan penjara dengan kalangan penagih yang dimasukkan sebelum proses rawatan dimulakan.

Katanya, dengan pengurangan jumlah penagih dihantar ke penjara, ia juga dapat menepis persepsi yang dicipta kumpulan tertentu bahawa kononnya kerajaan gagal menangani kesesakan dalam penjara.

“Kita letak (penagih) dalam penjara dan menyebabkan persepsi seolah-olah kerajaan langsung tidak memikirkan bagaimana nak kurangkan mereka (penagih) yang dimasukkan dalam penjara.

“Ada pula NGO mengatakan seolah-olah kita (kerajaan) tak bertanggungjawab kerana meletakkan mereka dalam keadaan begitu (sesak), kononnya memalukan, sempit dan lain-lain,” katanya.

Hamzah turut mencadangkan agar AADK dan polis bahagian narkotik menubuhkan satu pasukan khas bagi memantapkan lagi usaha memerangi dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.