
Hishamuddin mengakui beliau turut bimbang mengenai perkara itu, namun pada masa sama yakin dengan kebolehan KDN menanganinya.
“Dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada Cawangan Khas dan saya telah bekerjasama dengan mereka sebelum ini (ketika menjadi menteri KDN). Saya rasa mereka lebih daripada bersedia untuk melakukan yang terbaik.
“Ancaman sebegini di hujung hari tidak akan menjejaskan keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Mindef di Sungai Besi.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengesahkan kebocoran data itu, namun menafikan ia daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau menjelaskan, data tersebut kemungkinan besar dikumpul daripada pelbagai sumber agensi tertentu sebelum dijual balik kepada awam.
Sebuah portal berita tempatan sebelum ini melaporkan kebocoran data jutaan rakyat Malaysia, memetik hantaran di laman forum Lowyat.Net, yang dijual atas talian pada harga RM43,000.
Laporan itu mendakwa data merangkumi individu yang lahir dari 1940 hingga 2004 itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat, tarikh lahir, jantina, kaum, agama dan nombor telefon.
Penjual data tersebut yang hanya dikenali sebagai myIdentiti API itu turut menunjukkan butiran Hamzah sendiri malahan mempunyai akses rekod peribadi daripada agensi kerajaan.