
Menurut laporan akhbar Tempo di Jakarta hari ini, jurucakap kementerian, Teuku Faizasyah menegaskan bahawa pelantikan itu adalah bidang kuasa kerajaan Malaysia dan Indonesia ingin menjauhkan diri daripada politik dalaman itu.
“Kami sedar tentang pelbagai ulasan dalam media tempatan yang dikaitkan dengan dinamika politik domestik Malaysia. Kita tidak sepatutnya masuk ke dalam politik domestik Malaysia,” katanya.
Akhbar itu juga menghubungi Kementerian Luar Indonesia untuk mendapatkan ulasan berhubung pelantikan Tajuddin sebagai duta Malaysia selepas perkara itu menimbulkan kontroversi di Kuala Lumpur.
“Pelantikan duta adalah kuasa negara berkaitan melalui proses dalaman dan juga negara destinasi,” kata Faizasyah.
Katanya, setiap calon duta besar secara umumnya akan diminta mendapat persetujuan daripada negara penerima.
“Di Indonesia, pelantikan duta perlu ada proses tambahan, iaitu perbincangan di Parlimen,” katanya.
Tajuddin menggantikan Zainal Abidin Bakar, yang berkhidmat sebagai duta ke Indonesia sejak 2018. Beliau dijangka memulakan tugas bulan ini.
Terdapat laporan bantahan terhadap pelantikan Tajuddin di Malaysia daripada pihak tertentu selepas kenyataan kontroversinya berhubung insiden pelanggaran dua tren LRT tahun lalu.
“Dia juga sering diejek di media sosial oleh netizen di Malaysia kerana dianggap tidak sensitif dan biadap,” kata laporan itu.