Duta Ukraine gesa Putrajaya lantik semula wakil ke Kyiv

Duta Ukraine gesa Putrajaya lantik semula wakil ke Kyiv

Hennadii Nadolenko berkata ia lebih berkesan untuk menjaga kepentingan Malaysia.

Hennadii Nadolenko
Duta Ukraine ke Malaysia Hennadii Nadolenko berkata pemulihan hubungan diplomatik akan mengukuhkan hubungan dua hala dan membuka pintu kepada potensi peluang perdagangan.
KUALA LUMPUR:
Duta Ukraine ke Malaysia menggesa Putrajaya melantik semula wakil ke Kyiv, selepas penangguhan perkhidmatan diplomatiknya di sana pada 2021 akibat perang dengan Rusia.

Hennadii Nadolenko berkata walaupun kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland, telah ditugaskan untuk menguruskan hal ehwal diplomatik bekas kedutaan di Ukraine, kehadiran wakil secara terus di Kyiv akan lebih berkesan dalam menjaga kepentingan Malaysia.

Beliau berkata jarak sejauh 800km antara kedua-dua ibu negara itu menyukarkan urusan pentadbiran bagi kedua-dua pihak.

“Malangnya, tiada wakil di Kyiv sejak perang bermula. Kami amat berharap Malaysia dapat menghantar semula seorang diplomat ke sana. Pada masa ini juga, suara Ukraine kelihatan kurang diwakili di Malaysia,” kata Hennadii kepada FMT dalam satu temu bual.

Beliau menekankan bahawa Kesatuan Eropah, bersama Amerika Syarikat (AS), Vietnam, Australia dan Turki, telah menghantar semula wakilnya di Kyiv walaupun konflik masih berterusan.

Nadolenko berkata pemulihan hubungan diplomatik bukan sahaja akan mengukuhkan hubungan dua hala, malah membuka peluang perdagangan berpotensi dengan Ukraine.

Tamila Tasheva
Tamila Tasheva.

Tamila Tasheva, seorang Ahli Parlimen Ukraine yang mewakili wilayah Crimea yang dipertikaikan, berkata Kyiv juga berharap dapat memperluaskan jangkauan diplomatiknya melepasi sekutu tradisional seperti EU dan Amerika Utara.

Beliau berkata Asean kekal sebagai salah satu rantau yang menjadi keutamaan Ukraine di selatan global.

“Sebagai pemerhati dalam perhimpunan agung Persidangan Antara-Parlimen Asean (AIPA), kami dapat berhubung secara langsung dengan para perwakilan daripada negara-negara dalam blok itu,” katanya.

Sementara itu, Nadolenko menggesa Malaysia bersuara menentang pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Rusia, meskipun dasar luar negara ini secara tradisinya berkecuali, dengan merujuk kepada keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah pada Julai lalu.

Beliau memberi amaran bahawa mengelak daripada mengambil pendirian tegas boleh melemahkan sistem undang-undang antarabangsa yang melindungi negara berkuasa sederhana seperti Malaysia.

“Jika kita tidak mempertahankan undang-undang antarabangsa sekarang, ia boleh menimbulkan masalah serius pada masa depan dan menjejaskan Malaysia,” katanya.

Potensi jumlah dagangan

Nadolenko juga berkata jumlah dagangan kedua-dua negara boleh dipertingkatkan lagi, khususnya dalam komoditi makanan seperti bijirin dan minyak boleh dimakan.

“Jumlah dagangan yang ada sekarang sangat kecil dan tidak sepadan dengan saiz negara kita. Walaupun Ukraine berada dalam peperangan besar-besaran, kami masih menghasilkan banyak bijirin dan minyak yang diperlukan di Malaysia,” katanya.

Duta itu berkata sektor lain yang berpotensi untuk kerjasama lanjut termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan digital, pembuatan aeroangkasa, akses pasaran halal dan pembinaan semula pasca perang.

“Melihat ke hadapan, usaha membina semula infrastruktur Ukraine selepas perang membuka peluang besar untuk syarikat-syarikat Malaysia. Ini meliputi pembekalan elektronik, jentera dan bahan binaan, hinggalah kepada penyediaan penyelesaian kesihatan, aeroangkasa dan teknologi hijau,” tambahnya.

Menurut kedutaan, perdagangan dua hala meningkat semula kepada USD428 juta tahun lalu, selepas merosot ketara kepada USD158 juta pada 2022 — tahun pertama perang Ukraine-Rusia.

Import utama Malaysia dari Ukraine termasuk minyak bijian, bijirin, produk tenusu, serta bijih besi dan keluli.

Eksport utama Malaysia ke negara Eropah Timur itu pula terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, selain minyak sayuran dan minyak sawit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.