
Menterinya, Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya tidak akan melayan tindakan berbentuk ugutan.
“Bagi saya sebagai menteri pertahanan, yang penting ialah mendekati dan melibatkan diri secara langsung dengan mereka… tak ada perkara yang saya tak sanggup lakukan kalau sekiranya hujah itu dibawa kepada saya secara bersemuka.
“Ugut-ugut ini semua tak jalan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Mindef di Sungai Besi.
Beliau diminta mengulas isu sekumpulan pesara tentera yang mahu mengadakan demonstrasi pada awal bulan depan.
Pada 11 Mei lalu, sekumpulan pesara yang menamakan kumpulan mereka sebagai Suara Veteran mendakwa ribuan veteran tentera dari seluruh negara dijadual hadir bagi mengemukakan rasa tidak puas hati berhubung isu kebajikan.
Mengulas lanjut, Hishammuddin turut mengingatkan pesara tentera bahawa setiap tindakan perlu difikirkan kesannya.
“Jangan kita gembar-gemburkan sesuatu. Tapi saya tak boleh sekat mereka kalau mereka nak buat apa dia nak buat, tetapi fikir baik-baik.
“Dah bincang dengan kita dulu ke apa yang diinginkan supaya yang penting pembelaan kepada veteran. Berapa ratus ribu (veteran) yang ada, sama ada mereka (yang mahu demo) mewakili veteran-veteran itu atau tidak,” katanya.