Perkecil laporan artis ‘cosplay’: Polis akan ambil tindakan disiplin

Perkecil laporan artis ‘cosplay’: Polis akan ambil tindakan disiplin

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata siasatan terhadap anggota terlibat hampir lengkap.

Tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota berkenaan, kata Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis akan mengambil tindakan terhadap anggota polis yang dikatakan mengeluarkan kenyataan tidak wajar kepada seorang pemain peragaan busana atau “cosplay”, berhubung dakwaannya diganggu penghendap.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata siasatan terhadap anggota polis terlibat itu hampir lengkap.

“Kita hanya akan ambil tindakan disiplin terhadap anggota terlibat.

“Tindakan disiplin ini ada pelbagai, mungkin melibatkan tahan kenaikan gaji atau sebagainya,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, seorang anggota polis dilaporkan akan disiasat susulan dakwaan mengeluarkan kenyataan tidak wajar kepada seorang pemain cosplay yang mengadu diganggu penghendap.

Fakhruddin berkata, anggota berkenaan akan disiasat atas pelanggaran disiplin.

Mangsa berusia 21 tahun dalam hantarannya di Facebook mendedahkan, penghendap itu datang menemuinya dalam acara “Cosplay Alley Anime Festival”.

Menurut laporan, wanita itu sudah memberi amaran kepada lelaki berkenaan supaya tidak mengganggunya, namun lelaki itu hilang kawalan dan mula menimbulkan kekecohan.

Wanita itu dalam ciapannya di Twitter, Selasa lalu berkata seorang anggota polis menyatakan kepadanya: “You pakai macam ini (untuk) jual gambar, ini adalah akibatnya. You pun juga salah.”

Dalam pada itu, Fakhruddin berkata siasatan terhadap penghendap tersebut sudah dilakukan.

Katanya, setakat ini tidak ada apa-apa tindakan dalam kes itu.

“Sebab kita lihat tak ada elemen jenayah dalam kes ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.