Pensyarah kontroversi dah 6 bulan bersama PMO, kata sumber

Pensyarah kontroversi dah 6 bulan bersama PMO, kata sumber

Kamarul Zaman Yusoff dilantik sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan secara khusus menasihatinya dalam isu dasar.

Pensyarah kontroversi Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff sudah bekerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sejak enam bulan lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pensyarah kontroversi Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff sudah bekerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sejak enam bulan lalu.

Sumber enggan dikenali memberitahu FMT, Kamarul dilantik sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan secara khusus menasihatinya dalam isu dasar.

Ini berlaku selepas PMO memuat naik satu poster hari ini mengenai program akan dihadiri oleh Kamarul, di mana jawatan pensyarah itu ditulis sebagai “pegawai khas kepada perdana menteri”.

FMT telah menghubungi PMO untuk mendapatkan ulasan lanjut.

Tahun lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa UUM melancarkan siasatan ke atas Kamarul kerana didakwa mencetuskan ketegangan agama dalam komen yang dibuat mengenai Ahli Parlimen DAP Steven Sim.

Ia berkaitan bantuan dihulurkan Sim kepada seorang pemuda Melayu yang susah telah “dijadikan isu” oleh ahli akademik itu.

Pensyarah itu menerima pelbagai saman fitnah, termasuk difailkan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh pada Mac berhubung catatan Facebook yang dibuatnya pada 2017.

Saman fitnah yang dibawa oleh Kamarul terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut ditolak oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lepas.

Mahkamah sama turut membatalkan satu lagi saman fitnah Kamarul terhadap tujuh pemimpin DAP bulan lepas kerana arahan hakim bicara tidak dipatuhi.

Bekerja secara senyap

Sementara itu, Kamarul memberitahu FMT dia mula menjawat jawatan berkenaan sejak Disember lalu, namun tidak mahu menghebahkannya kerana lebih suka bekerja secara senyap.

“Saya bukanlah orang yang suka mengejar publisiti dan lebih suka bersikap ‘low profile’ sambil bekerja di balik tabir.

“Apatah lagi bila tugasan saya di Pejabat Perdana Menteri tidak membabitkan kerja politik atau perkara dasar, sebaliknya sekadar membantu dari sudut kerja harian biasa di samping sedikit kerja penyelidikan yang tidak memerlukan saya menonjolkan diri,” katanya.

Kamarul berkata, bagaimanapun beliau diamanahkan sebagai pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22 hingga 24 Mei ini.

“Ini memerlukan saya berhubung dengan banyak pihak selain membuat promosi ke atasnya menyebabkan saya terpaksa ke depan.

“Saya seorang profesional, tidak ada apa-apa perkara kontroversi mengenai saya kerana masalah kes saman fitnah antara saya dengan beberapa pemimpin pembangkang adalah isu peribadi lama yang tiada kaitan dengan tugas sekarang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.