
Seorang calon dari negeri itu berkata, kumpulan berkenaan mengedarkan bantuan seperti beras dan barangan dapur untuk memujuk pengundi yang layak supaya menukar nombor telefon mereka dalam pangkalan data parti dengan kad SIM baharu.
Nombor baharu itu kemudiannya digunakan untuk mengundi dalam talian sebelum kad SIM itu dipercayai dilupuskan. Ini kerana nombor berkenaan tidak dapat dihubungi untuk menentukan kesahihannya.
“Mereka melakukannya kepada ahli yang berusia dan tidak biasa menggunakan telefon pintar. Memang menjijikkan, apatah lagi bagi parti yang dinamakan Keadilan dan memperjuangkan reformasi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pihaknya telah mengumpul bukti melibatkan ahli yang mengaku tidak tahu kenapa nombor telefon mereka ditukar. Aduan juga telah diserahkan kepada ketua Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP).
Kumpulan berkenaan memberikan beberapa nombor mencurigakan itu kepada FMT, yang ternyata tidak dapat dihubungi.
Ketika dihubungi, Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa mengesahkan telah menerima aduan itu dan dakwaan tersebut mesti disokong bukti bagi membolehkan tindakan diambil.
Tambahnya, proses undian berjalan lancar, walaupun timbul beberapa isu yang kini dalam proses penyelesaian oleh pihaknya.
Sementara itu, seorang ahli PKR mendakwa terdapat individu yang mengundi bagi pihaknya ketika pemilihan PKR di Kangar.
Chua Beng Choon berkata, individu itu mendakwa merupakan ahli pasukan Gan Ay Ling, iaitu calon bagi jawatan ketua di Kangar.
Bagaimanapun, Gan yang juga merupakan ahli Parlimen Indera Kayangan ketika dihubungi menafikan dakwaan itu.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Chua membuat laporan polis selepas menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang kononnya mahu membuat demonstrasi cara mengundi dalam talian.
Apabila menemui individu itu, Chua mendakwa dia diminta menunjukkan peranti elektroniknya. Sejurus itu, individu terbabit memulangkan peranti berkenaan dengan berkata, dia telah “siap mengundi”.
Mengulas kejadian itu, Gan berkata, walaupun sistem undian dalam talian dilaksanakan dengan baik, adalah agak malang apabila ada individu mengambil kesempatan terhadap proses berkenaan.
Beliau turut menyuarakan kekecewaan kerana keadaan itu menunjukkan terdapat ahli yang sanggup menipu dan memanipulasi proses pengundian dalam talian.
“Peraturan yang ditetapkan oleh JPP mesti dipatuhi dan jika calon melanggarnya, tindakan mesti diambil,” katanya yang bertanding jawatan ketua PKR Kangar melawan penyandang Noor Amin Ahmad dan Amar Amran.
Sementara itu, calon ketua bahagian PKR Tambun, Mustapa Mansor menyuarakan kesediaan untuk disiasat berhubung dakwaan menyelewengkan wang dan penyalahgunaan dadah yang disifatkannya tidak berasas, selain bertujuan merosakkan nama baiknya.
“Saya menafikan semua tuduhan yang dilemparkan itu, malah saya sedia disiasat dan akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Serangan peribadi seperti ini ketika pemilihan tidak sepatutnya berlaku dalam PKR,” katanya seperti dipetik oleh Sinar Harian.