Murid maut digilis treler, ibu cedera

Murid maut digilis treler, ibu cedera

Difahamkan kanak-kanak perempuan itu dalam perjalanan dari sekolahnya yang turut mengadakan sambutan Aidilfitri hari ini.

Gambar media sosial mengenai kemalangan itu yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan manakala ibunya cedera di Jalan Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang murid perempuan Tahun 4 maut digilis, manakala ibunya cedera selepas motosikal dinaiki hilang kawalan, terjatuh lalu digilis treler dalam kejadian di Jalan Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari, mangsa berusia 10 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad, berkata motosikal dinaiki dua beranak itu dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh atas jalan raya.

“Ketika itu, penunggang motosikal (ibu kepada kanak-kanak perempuan) sempat menyelamatkan diri namun pembonceng (anaknya) digilis sebuah lori (treler) yang datang dari arah sama.

“Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Berita Harian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat manakala ibunya turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.

Shafee berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu dalam perjalanan dari sekolahnya yang turut mengadakan sambutan Aidilfitri hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.