
Ketua Polis Klang Utara, Vijaya Rao berkata, mangsa membuat laporan berhubung kejadian dan mendapatkan rawatan di Hospital Klang.
“Berdasarkan siasatan dijalankan, mangsa diserang lelaki berkenaan secara tiba-tiba dari belakang sehingga terjatuh sebelum cuba disamun sewaktu berjalan kaki seorang diri ke Center Point Klang.
“Lelaki itu turut bertindak agresif memukul mangsa di bahagian muka dan kepala sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.
Vijaya berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lelaki berkenaan berdasarkan pengecaman wajah oleh mangsa dan kini giat mengesannya.
“Lelaki itu merupakan seorang gelandangan, berbadan kurus, berkulit sawo matang, berambut panjang paras bahu dan dianggarkan berumur 40-an,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.” katanya.
Menurut laporan China Press, lelaki itu turut memukul kepala mangsa menggunakan telefon bimbit sebanyak 20 kali serta mencucuk matanya sehingga mendatangkan kecederaan.
“Lokasi kejadian pada asalnya ramai orang lalu-lalang, namun ia terbiar dan kurang dikunjungi sejak kawasan itu ditutup akibat pelaksanaan projek LRT,” kata suami mangsa menerusi hantaran di media sosial.