Pemaju diselar ‘kunci mulut’ pembeli rumah berhubung unit hartanah rosak

Pemaju diselar ‘kunci mulut’ pembeli rumah berhubung unit hartanah rosak

Kumpulan advokasi pengguna bimbang pemaju cuba mengunci mulut pembeli melalui perjanjian ketakdedahan (NDA).

Seorang peguam berkata, tiada keperluan bagi perjanjian ketakdedahan (NDA) antara pemaju dan pembeli rumah.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan advokasi pengguna mengecam pemaju hartanah yang menghendaki pembeli rumah menandatangani perjanjian bagi menghalang mereka daripada bercakap mengenai kecacatan dalam pembinaan yang diperbaiki dalam tempoh liabiliti kecacatan (DLP).

Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Chang Kim Loong berkata, beliau bimbang pemaju cuba mengunci mulut pembeli melalui perjanjian ketakdedahan (NDA).

“Pembeli rumah yang menandatangani NDA akan terdedah kepada tindakan undang-undang jika mereka berkongsi dengan orang lain butiran kecacatan dalam hartanah mereka,” katanya kepada FMT.

“Ini mesti dihentikan.”

Beliau menasihatkan pembeli rumah supaya tidak menandatangani perjanjian sedemikian.

Seorang penduduk Lembah Klang baru-baru ini mendakwa telah menandatangani satu NDA berikutan pembaikan dibuat pada unit itu semasa DLP. FMT tidak mendedahkan identiti kedua-dua pemaju dan penduduk.

Peguam V Rajadevan memberitahu FMT: “Saya tidak nampak ada keperluan untuk NDA melainkan pemaju itu cuba menyembunyikan fakta bahawa tuntutan liabiliti telah diselesaikan atau bimbang akan memburukkan publisiti”

Beliau juga berkata, undang-undang mengiktiraf liabiliti pemaju untuk membuat pembaikan semasa DLP selama 24 bulan yang bermula dari tarikh pembeli menerima pemilikan kosong rumah mereka.

“Jika seorang pemaju memaksa pembeli menandatangani NDA sebagai syarat pembaikan, maka tindakan undang-undang boleh diambil kerana menjadi kewajipan pemaju untuk memperbaiki kecacatan semasa DLP.”

Beliau berkata, satu-satunya cara untuk mengalahkan NDA yang ditandatangani adalah dengan mencabarnya di mahkamah, tetapi tiada sebab untuk pembeli mengambil tindakan undang-undang jika kecacatan itu telah dibaiki.

Katanya, NDA tidak akan terpakai untuk kecacatan berikutnya dan pembeli boleh menuntut ganti rugi jika terdapat kecacatan tersebut.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa pembeli rumah yang dipaksa menandatangani NDA supaya membuat laporan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kementerian mesti melindungi pembeli rumah daripada pemaju yang tidak bertanggungjawab dan pegawainya harus melawat unit dengan mutu kerja yang kurang baik selepas menerima aduan,” kata Pengurus Kanan Fomca S Baskaran.

Beliau memberitahu FMT, Fomca menerima aduan daripada ramai pengguna yang berdepan banyak kesukaran selepas DLP kerana pembaikan tidak dibuat dengan baik.

“Jika hartanah itu rosak, maka apa yang dijual oleh pemaju tidak seperti yang diiklankan,” katanya. “Ini boleh ditafsirkan sebagai pengiklanan yang mengelirukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.