Najib minta saya jumpa ketua PAC sebelum kes didengar, kata bekas pengerusi 1MDB

Najib minta saya jumpa ketua PAC sebelum kes didengar, kata bekas pengerusi 1MDB

Bakke Salleh berkata beliau menerima panggilan daripada Najib Razak memintanya bertemu Hasan Arifin di rumah bekas CEO Media Prima Bhd Ahmad Farid Ridzuan.

Bekas pengerusi 1MDB Bakke Salleh berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Najib Razak dua minggu sebelum dijadualkan memberi keterangan di hadapan PAC pada 11 Feb 2016. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas pengerusi 1MDB Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau diminta oleh Najib Razak untuk bertemu dengan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ketika itu menjelang pendengaran mengenai hal ehwal syarikat itu pada 2016.

Bakke, saksi dalam perbicaraan pengubahan wang haram 1MDB dan salah guna kuasa membabitkan Najib berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada bekas perdana menteri itu dua minggu sebelum dijadualkan memberi keterangan di hadapan PAC pada 11 Feb 2016.

“Saya terima panggilan daripada perdana menteri (ketika itu), meminta saya bertemu dengan Hasan (pengerusi PAC ketika itu, Hasan Arifin) di rumah Ahmad Farid Ridzuan di Kiara Hills,” katanya ketika diperiksa balas oleh peguam Najib, Shafee Abdullah.

Farid adalah bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Media Prima Bhd.

“Jika saya dapat ingat kembali kata-kata Najib, beliau mahu saya bertemu mereka ‘untuk memastikan kami semua faham secara kasar apakah yang akan dikatakan di hadapan PAC’.

“Kebimbangannya adalah untuk melindungi dan menyelamatkan reputasinya.”

Bakke berkata, beliau bertemu Hasan dan Farid dua kali sebelum 11 Feb 2016.

Katanya, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada pertemuan pertama, dan penyandang seterusnya, Arul Kanda Kandasamy hadir pada pertemuan kedua.

Sebelum ini, Shahrol memberitahu mahkamah bahawa beliau “dilatih” untuk mengecilkan pembabitan Najib dan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dalam 1MDB.

“Saya beranggapan bahawa Hasan dan Farid mahu saya bersikap lebih ‘lunak’ dan ‘tidak terlalu keras’ dalam keterangan saya. Selain itu, nama Jho Low pantang disebut.

“(Mereka beritahu saya) cuba jangan kaitkan perdana menteri dan cuma cakap tentang pengurusan,” kata Bakke.

Pertemuan itu seolah-olah bertujuan memberinya “garis panduan halus” semasa memberi keterangan di hadapan PAC, tambahnya.

“Alhamdulillah, saya tahu apa yang saya hendak katakan dan tak terpengaruh,” katanya.

Shafee kemudian bertanya Bakke mengapa beliau tidak memaklumkan kepada PAC bahawa beliau telah menghantar SMS kepada Najib memaklumkan hasratnya untuk berhenti dan membangkitkan kebimbangannya mengenai keadaan 1MDB.

“Jujurnya, pendengaran itu enam tahun lepas,” jawab Bakke selain menambah bahawa beliau tidak ingat sama ada beliau memberitahu PAC tentang alasannya meletak jawatan.

“Saya tidak diberikan salinan prosiding (Hansard) untuk saya semak. Jadi saya ragu-ragu saya menjawab dengan cara ia direkodkan,” katanya.

Shafee kemudian memberitahunya, tiada sesiapa memberi keterangan di hadapan PAC atau mana-mana jawatankuasa pilihan Parlimen lain diberi peluang untuk menyemak Hansard.

Shafee: Saya mencadangkan bahawa anda tidak memberitahu PAC bahawa anda menghantar SMS kepada perdana menteri sehingga hari ini dan saya katakan yang anda tidak jujur.

Bakke: Tidak apa, (saya) tiada komen.

Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkait dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun banknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.