Mesyuarat kuartet Covid-19 tamat hari ini selepas 16 kali bersidang

Mesyuarat kuartet Covid-19 tamat hari ini selepas 16 kali bersidang

Tujuan mesyuarat itu bertujuan membuka semula negara secara berperingkat dan selamat, kata pengerusinya Hishammuddin Hussein.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, berkata matlamat utama mesyuarat kuartet diadakan bagi membolehkan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seharian secara hampir normal serta belajar hidup bersama virus Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Pengurusan Pandemik Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19, hari ini, adalah yang terakhir selepas 16 kali bersidang, sejak kali pertama diadakan pada 14 Sept tahun lalu.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein iaitu pengerusi mesyuarat kuartet itu, berkata sepanjang sembilan bulan, mesyuarat tersebut adalah antara pendekatan dalam usaha kerajaan untuk membuka semula negara secara berperingkat dan selamat.

“Sejak mesyuarat menteri kuartet diwujudkan, negara kini telah memasuki fasa peralihan ke endemik, 181 SOP yang diguna pakai sejak Mac 2020 kini hanya tinggal satu SOP asas dan sembilan garis panduan.

“… semua sektor telah dibuka, setiap perayaan telah dibenarkan untuk disambut, pelitup muka juga sudah tidak diwajibkan di tempat terbuka malah, daftar masuk menggunakan MySejahtera juga sudah tidak lagi menjadi kewajipan.

“Matlamat utama kerajaan di sebalik usaha ini adalah bagi membolehkan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seharian secara hampir normal serta belajar hidup bersama virus Covid-19,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kuartet terakhir, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari.

Hishammuddin berkata, mesyuarat kuartet juga memperhalusi kaedah yang sesuai dan selamat untuk merancakkan semula sektor ekonomi serta membuka semula pelbagai sektor lain secara berperingkat dan selamat termasuk sektor pelancongan, pekerjaan, industri dan pembuatan serta sukan.

Beliau berkata, pembukaan sempadan negeri dan negara secara berperingkat turut menjadi antara fokus utama mesyuarat kuartet dan perkara itu rumit memandangkan ia melibatkan pergerakan keluar masuk negeri dan negara dalam skala yang besar.

“Situasi ini sekali gus merumuskan bahawa usaha-usaha yang dibuat oleh kuartet telah membolehkan kehidupan seharian rakyat telah kembali kepada situasi hampir normal sekali gus menepati matlamat awal penubuhan Kuartet,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin turut memberi penghargaan kepada semua ahli tetap mesyuarat itu terdiri daripada empat menteri termasuk beliau sendiri, menteri kesihatan, menteri kewangan serta menteri komunikasi dan multimedia.

“Tidak dilupakan juga, menteri yang turut dilibatkan secara berkala iaitu menteri kanan kerja raya, menteri kanan pendidikan, menteri pengajian tinggi, menteri pengangkutan, menteri sumber manusia, menteri perpaduan negara, menteri luar negeri, menteri di jabatan perdana menteri (tugas-tugas khas), menteri pelancongan, seni dan budaya serta menteri belia dan sukan.

“Terima kasih juga Majlis Keselamatan Negara sebagai peneraju dan semua 29 agensi serta pasukan beruniform yang terlibat termasuk Jabatan Imigresen, tentera dan polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.