
Malaysian Re dalam kenyataan berkata, jumlah itu dinyatakan dalam Malaysian Insurance Highlights (MIH) 2021, edisi ketiga terbitan “Thought Leadership” yang dilancarkan semalam untuk mengkaji kesan banjir terhadap ekonomi Malaysia dan pasaran insurans.
“MIH 2021 mengkaji cabaran utama risiko banjir yang tidak diinsuranskan di Malaysia, iaitu secara purata hanya kira-kira 10% daripada kerugian ekonomi itu dilindungi.
“Menurut MIH 2021, penanggung insurans Malaysia menanggung kira-kira RM1.5 bilion hingga RM2 bilion (USD360 juta hingga USD480 juta) atau 20% hingga 30% daripada kerugian ekonomi apabila bahagian yang tinggi bagi hartanah perkilangan terjejas di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re, Zainudin Ishak berkata, MIH 2021 memberitahu bagaimana mata pencarian dan hartanah di seluruh negara terjejas teruk oleh malapetaka pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kos insurans banjir agak nominal. Perlindungan ini tersedia sebagai lanjutan kepada polisi kebakaran standard dan berharga kira-kira 0.086% daripada jumlah yang diinsuranskan.
“Penetapan harga risiko itu dianggap tinggi dan selalunya hanya dibeli di kawasan terdedah kepada banjir atau berikutan kejadian yang berlaku baru-baru ini.”
MIH 2021 menekankan keperluan untuk menangani jurang perlindungan itu apabila risiko banjir meningkat kerana permintaan perlindungan banjir dipengaruhi sokongan kerajaan terhadap kerugian yang dialami segmen berpendapatan rendah.
“Dalam kejadian banjir baru-baru ini, kerajaan menyokong mereka yang terjejas dengan menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM1.4 bilion.”
Edisi ketiga MIH itu juga memberitahu bahawa banjir yang berlaku pada Disember lalu memberi kesan kepada harga perlindungan banjir dalam pasaran insurans Malaysia.
Penanggung insurans juga dijangka menyemak semula struktur insurans semula untuk memastikan mereka mempunyai perlindungan mencukupi hasil daripada pemahaman lebih mendalam tentang risiko akibat banjir di negara ini.
Zainudin berkata, Malaysian Re bekerjasama dengan Bank Negara (BNM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk membangunkan penyelesaian yang akan mengumpul kumpulan yang mampu untuk menginsuranskan dengan golongan tidak mampu.
“Dari sudut pandangan insurans, wujud keperluan untuk mengadakan perbincangan lebih mendalam bagi mencari penyelesaian dalam melindungi risiko banjir di Malaysia dengan lebih baik, dengan mendapat kerjasama daripada sektor insurans, pengawal selia (BNM), Nadma dan kerajaan.
“Sebelum ini, tumpuan diberikan kepada pembangunan perlindungan yang menangani pendedahan segmen berpendapatan rendah penduduk Malaysia; penyelesaian semasa bertujuan untuk memberikan perlindungan lebih pantas dan merangkumi semua bahagian masyarakat atau pemegang polisi.”