KDN siasat individu tular penjualan 22.5 juta data peribadi, kata Hamzah

KDN siasat individu tular penjualan 22.5 juta data peribadi, kata Hamzah

Ia susulan tular berhubung dakwaan 22.5 juta data peribadi rakyat negara ini sedia untuk dijual membabitkan populasi dewasa lahir antara 1940 hingga 2004.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan memanggil dan menyiasat individu yang menularkan dakwaan penjualan data peribadi rakyat Malaysia.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri akan memanggil dan menyiasat individu yang terlibat menularkan isu penjualan 22.5 juta data peribadi rakyat Malaysia.

Menterinya, Hamzah Zainudin, bagaimanapun mengesahkan data peribadi yang dikatakan itu disahkan bukan milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), katanya memetik laporan Bernama.

Menurut laporan Sinar Harian, hari ini, satu portal teknologi dan telekomunikasi melaporkan, penjual turut mempunyai sampel data peribadi milik Hamzah demi membuktikan data diperoleh adalah sah.

Penjual itu juga dikatakan melampirkan gambar kad pengenalan Hamzah.

Menurut portal itu juga, pangkalan data pertama jualan didakwa mengandungi 22.5 juta rekod yang diperoleh daripada Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) MyIdentity JPN, meliputi seluruh populasi dewasa di Malaysia yang dilahirkan antara 1940 hingga 2004.

Portal itu melaporkan terdapat penjualan data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia serta swafoto pengesahan kad pengenalan dimiliki 800,000 individu milik JPN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara dalam talian.

Hamzah ketika mengulas lanjut, berkata pihak kementerian mempunyai mekanisme untuk mengesahkan data yang dijual itu bukan daripada JPN.

“Seperti kes-kes sebelum ini, penjualan data melibatkan agensi yang diberi ruang untuk terima maklumat daripada JPN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu berkenaan selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya, hari ini.

Hamzah berkata, satu siasatan sedang dilakukan pihaknya dan mendapati data yang dijual itu adalah koleksi penjual daripada sumber-sumber lain.

“Semua individu yang terlibat dengan kegiatan penjualan data peribadi ini akan dipanggil bagi membantu siasatan dan hasil siasatan penuh akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya.

Sehubungan itu, Hamzah berkata SOP bagi mendapatkan data peribadi melalui agensi di bawah JPN akan dikaji semula.

“JPN merasakan wujud keperluan untuk data peribadi didapatkan terus daripada jabatan terbabit supaya isu seperti ini tidak timbul,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.