Bicara ‘Long Tiger’ bersambung walaupun pengadu meninggal dunia

Bicara ‘Long Tiger’ bersambung walaupun pengadu meninggal dunia

Timbalan pendakwa raya mahu perbicaraan membabitkan Abdul Hamim Hamid atau 'Long Tiger' diteruskan namun dibantah pihak pembelaan.

Abdul Hamim Hamid atau ‘Long Tiger’ meloloskan diri daripada tahanan polis ketika menunggu untuk dibicarakan di Mahkamah Majistret di Johor, Disember lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perbicaraan membabitkan Abdul Hamim Hamid atau “Long Tiger” akan diteruskan walaupun ketiadaan pengadu dalam kes berkenaan.

Peguam Hamim, Shaharuddin Ali berkata, pihak pembelaan akan membantah perbicaraan pada 25 Mei depan susulan kematian pengadu akibat kemalangan.

“Timbalan pendakwa raya berkata mereka mahu meneruskan kes itu. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana mereka mahu meneruskannya tanpa pengadu yang sudah meninggal dunia.

“Apa sahaja berkaitan pengadu, Luqman Hakeem Othman, kami akan bantah,” katanya kepada FMT.

Butiran berhubung kematian saksi berkenaan tidak diketahui.

Sebelum ini, Hamim berdepan tiga perbicaraan.

Semalam, Mahkamah Majistret Tangkak melepas namun tidak membebaskan Hamim berhubung kes pemerasan susulan kematian saksi utama.

Bagaimanapun kes berkaitan ugutan bunuh masih berjalan.

Hamim ketika ini sedang menjalani hukuman penjara setahun selepas mengaku bersalah meloloskan diri dari lokap mahkamah.

Lelaki Rohingya berusia 33 tahun itu, melarikan diri menerusi pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Dis sementara menunggu kes perbicaraan bermula, namun berjaya ditangkap semula di Sungai Petani, Kedah, dua minggu kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Tangkak, Fadhil Minhat ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melengkapkan siasatan dan tidak akan mengulas berhubung keputusan majistret melepas tanpa membebaskan berhubung kes pemerasan membabitkan ‘Long Tiger’.

“Kami sudah melakukan kerja kami. Kami sudah menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya. Terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.