
Mahathir yang menjadi perdana menteri antara Mei 2018 hingga Feb 2020 berkata, Zahid telah menemuinya sekurang-kurangnya lima kali di Yayasan Kepimpinan Perdana di Pejabat Perdana Menteri, dan sekali di kediamannya di Mines Resort City antara 6 Jun 2018 dan 25 Feb 2020.
Katanya, ketika tempoh itu, Zahid tidak memegang sebarang jawatan awam termasuk sebagai anggota menteri Kabinet.
“Justeru, pertemuan plaintif (Zahid) dengan defendan (Mahathir) pada tempoh waktu material adalah tidak dan/atau tidak mungkin melibatkan pengurusan dan pentadbiran negara,” kata Mahathir dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah Zahid yang difailkan bulan lalu.
Mahathir berkata, Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datuk malah menemuinya ketika beliau menjadi perdana menteri interim dari 24 Feb hingga 29 Feb 2020, dan menyuarakan kegusaran terhadap masa depannya dalam politik disebabkan tuduhan yang dihadapi.
Ahli parlimen Langkawi itu yang memfailkan pembelaannya menerusi Tetuan Haidir & Co hari ini berkata, aktivis Khairuddin Abu Hassan telah mendedahkan di Facebook bahawa Zahid telah memintanya (Khairuddin) untuk mengatur pertemuan dengan beliau (Mahathir).
“Mana-mana individu yang waras akal fikiran dan mempunyai kemampuan intelek untuk berfikir akan secara munasabahnya mencapai kesimpulan dan/atau melihat bahawa plaintif seorang ahli politik yang ketika itu sedang menghadapi masalah kes jenayah, dan telah menemui defendan yang memegang jawatan berautoriti ketika itu semestinya untuk membuat percubaan menyelesaikan kes dihadapi,” katanya.
Mahathir yang menggunakan pembelaan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat, turut meminta mahkamah membatalkan saman itu dengan menyifatkan Zahid tiada kausa tindakan selain saman berkenaan adalah remeh, menyusahkan, mengaibkan, dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Zahid memfailkan saman pada 27 April selepas Mahathir mengeluarkan kenyataan mendakwa beliau telah pergi ke bekas perdana menteri itu dengan dua atau tiga orang lain, tidak lama selepas pilihan raya umum ke-14.
Beliau mendakwa kata-kata berkenaan memberi gambaran beliau mempunyai imej buruk, dan tidak menghormati pihak berkuasa atau sistem keadilan, selain membawa maksud beliau mahu menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi perdana menteri ketika itu campur tangan dalam siasatan.
Menurutnya, beliau tidak pernah menemui Mahathir untuk meminta bantuan menyelesaikan kesnya.
Zahid turut memfailkan saman serupa terhadap seorang lagi bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang dikatakan membuat dakwaan sama ketika kempen pilihan raya negeri Johor. Muhyiddin menjadi perdana menteri antara Mac 2020 hingga Ogos tahun lalu.
Zahid kini berdepan 80 tuduhan rasuah di mahkamah Kuala Lumpur serta Shah Alam.