Nasib Paul Yong diketahui 29 Jun

Nasib Paul Yong diketahui 29 Jun

Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan terakhir pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada 7 Dis lalu memerintahkan Paul Yong membela diri atas tuduhan merogol pembantu rumahnya selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan sama ada ADUN Tronoh, Paul Yong didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya bakal diketahui 29 Jun ini.

Penetapan tarikh itu dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Abdul Wahab Mohamed selepas mendengar hujahan terakhir pihak pendakwaan dan pembelaan, menurut laporan Sinar Harian.

Pada 31 Mac lalu, pasukan pembelaan yang diketuai oleh Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kes selepas memanggil tiga saksi, iaitu Yong dan isteri, Chor Pei Sun, 47, serta bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.

Mahkamah sebelum ini memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis sebelum atau pada 25 April dan memfailkan jawapan balas pada 9 Mei.

Pada prosiding 7 Dis tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Yong, 51, membela diri atas tuduhan merogol pembantu rumahnya tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang juga bekas exco Perak.

Yong, 51, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan exco perumahan, kerajaan tempatan, pengangkutan awam, hal ehwal bukan Islam dan kampung baru Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.