
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia dan setiausaha tetap Kementerian Pengangkutan Thailand.
Terdahulu, beliau yang berada di sini atas jemputan kerajaan Singapura, mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Saksayam Chidchob.
“Susulan daripada lawatan rasmi Perdana Menteri, Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand dan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri Thailand pada Februari 2022, kami seperti mana yang diamanahkan oleh kedua-dua perdana menteri, buat kali pertama memulakan perbincangan tentang cadangan projek kereta api kelajuan tinggi (HSR) dari Bangkok ke Kuala Lumpur,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya pada Selasa.
Pada 26 Feb lalu, Malaysia dan Thailand dilaporkan telah bersetuju untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan jajaran HSR di antara Kuala Lumpur dengan Bangkok.
Ismail berkata, persetujuan tersebut adalah hasil pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha di Rumah Kerajaan di Bangkok semasa lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu.
Dalam catatan sama, Wee turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Saksayam atas kerjasama Thailand dalam melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara kedua-dua negara pada pertengahan Mac 2022 walaupun untuk tempoh singkat sebelum sempadan Malaysia dibuka semula mulai 1 April, 2022.
“Malaysia dan Thailand akan terus bekerjasama untuk memulihkan sektor penerbangan,” katanya.