Kenaikan OPR mungkin beri kesan sebaliknya, kata ahli ekonomi

Kenaikan OPR mungkin beri kesan sebaliknya, kata ahli ekonomi

Goh Lim Thye dari Universiti Malaya berkata, kenaikan itu mungkin tidak produktif kerana gaji minimum dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 baru-baru ini.

Bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan mungkin meningkat sehingga RM20 ke RM100, kata ahli ekonomi.
PETALING JAYA:
Keputusan Bank Negara (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2% akan memberi kesan terhadap golongan berpendapatan rendah, kata ahli ekonomi.

Goh Lim Thye dari Universiti Malaya berkata, kenaikan itu mungkin tidak produktif kerana gaji minimum dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 baru-baru ini.

Katanya, golongan berpendapatan rendah menggunakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membayar pinjaman perumahan, khasnya yang menetap di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Beliau berkata, kadar baharu OPR (atau kadar pinjaman antara bank) boleh menyebabkan bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan meningkat sebanyak RM20 hingga RM100.

“Kita baru menaikkan gaji minimum untuk membantu golongan berpendapatan rendah. Kini nampaknya golongan sama berdepan satu lagi kenaikan (dalam perbelanjaan) menerusi kenaikan kadar faedah yang mungkin menyebabkan rancangan awal itu memberi kesan sebaliknya.

“Saya tertanya-tanya apakah hala tuju sebenar dasar kita,” kata Goh.

Beliau mengakui untuk mengekalkan OPR pada paras 1.75% “terlalu rendah”, namun menegaskan isunya adalah masa pelaksanaannya oleh bank pusat.

“Sekarang kita tidak tahu kesan gaji minimum kerana ia baharu dilaksanakan. Namun disebabkan dasar itu telah disahkan dan dilaksanakan, apakah strateginya selepas ini? Adakah kita akan menaikkan subsidi untuk golongan B40?”

Beliau berkata, hujah untuk mewajarkan kenaikan OPR disebabkan inflasi adalah lemah memandangkan inflasi utama “masih 2.2%”, iaitu kadar terendah di Asia Tenggara.

Tanpa dijangka, Malaysia menaikkan kadar faedah penanda arasnya pada Rabu lalu sebagai langkah untuk mengelak tekanan harga yang berisiko menjejaskan permintaan dalam ekonomi.

Ini bermakna Malaysia adalah negara terbaru yang mengetatkan dasarnya ketika bank pusat di seluruh dunia cuba mengawal inflasi yang sebahagiannya dicetuskan kejutan bekalan akibat perang di Ukraine.

Ahli ekonomi lain pula meramalkan BNM akan menaikkan OPR sekali lagi pada akhir tahun ini.

Nazari Ismail, juga dari Universiti Malaya, berkata, kenaikan OPR memberi kesan baik dan buruk terhadap golongan berpendapatan rendah kerana ia akan memperlahankan inflasi, tetapi turut menyebabkan peningkatan kos kredit.

Katanya, mereka “yang paling terkesan” dengan langkah itu adalah golongan berpendapatan rendah dengan hutang tinggi.

“Tetapi inflasi juga akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah. Jadi dalam apa cara sekalipun, mereka akan menjadi orang yang paling menderita,” katanya yang menggesa kerajaan merombak sistem ekonomi.

“Ekonomi berasaskan hutang seperti ini tidak baik untuk mereka dan hanya memanfaatkan sesetengah segmen masyarakat, khasnya golongan elit kewangan. Akhirnya kita perlu menggantikan ekonomi berasaskan hutang ini dengan sistem lain yang memberi manfaat kepada semua orang, bukan golongan elit kewangan sahaja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.