
Najib yang juga bekas perdana menteri ke-6 berkata, bukan mudah baginya untuk menyarankan supaya kerajaan menyelamatkan mana-mana syarikat, kecuali ia mempunyai kepentingan strategik atau berpeluang untuk diselamatkan.
“Ketika PNB bawah Zeti, ‘bailout’ Sapura dan menjadi pemegang terbesar Sapura serta menjadikan syarikat itu sebagai GLC pada 2019 ketika dia (Mahathir) PM, tak ada pun dia kata ‘kurangkan kerugian, bukan ‘bailout’ atau kita tak patut selamatkan orang yang telah gagal.
“Ketika Petronas melalui syarikat MISC, ‘bailout’ syarikat perkapalan anak dia semasa dia PM4, tak ada pun dia kata ‘kurangkan kerugian, bukan ‘bailout’ atau kita tak patut selamatkan orang yang telah gagal. Tun, saya bukan kaki ‘bailout’ tak menjadi,” kata Najib di Facebook.
Khamis lalu, Najib mencadangkan supaya Petronas mengambil alih Sapura bagi mengelakkan syarikat itu diisytiharkan muflis.
Katanya, cadangan itu adalah antara syor untuk menyelamatkan Sapura memandangkan Petronas memiliki kepakaran dengan satu lagi pilihan membabitkan pinjaman bank kepada syarikat itu yang dijamin kerajaan.
Najib memberi cadangan itu dalam debat perdana dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia.
Semalam, Mahathir tidak bersetuju dengan langkah “bailout” bagi menyelamatkan Sapura kerana menurutnya, ada masanya perniagaan mengalami untung dan rugi.
Beliau sebaliknya berkata, usaha perlu diambil bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu.
Najib berkata, ketika era pentadbirannya antara 2009 hingga 2018, beliau hanya melaksanakan langkah “bailout” sebanyak tiga kali.
“Silterra yang berjaya dipulihkan keuntungannya, Proton yang kamu bantah, tetapi terbukti berkesan hari ini serta MAS sebab perlu menjaga industri pelancongan serta memastikan ada saingan bagi penerbangan tempatan.
“Jangan macam anak kamu. Sekadar nak bantah sahaja sebab yang cadangnya nama Najib,” kata ahli Parlimen Pekan itu.