Keng Yaik layak dikenang dalam sejarah komedi politik, menurut buku

Keng Yaik layak dikenang dalam sejarah komedi politik, menurut buku

Sebagai perokok tegar, bekas menteri Dr Lim Keng Yaik pantang ditegur mengenai tabiat itu tetapi segera padamkan rokoknya apabila Dr Mahathir Mohamad muncul.

Dr Lim Keng Yaik Dr Mahathir Mohamad
Dr Lim Keng Yaik berkhidmat sebagai menteri perusahaan utama ketika di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri persekutuan Dr Lim Keng Yaik ‘layak mendapat tempat tersendiri dalam sejarah komedi politik tanah air’, tulis seorang bekas wartawan — mengenang hubungan penuh warna-warni bekas presiden Gerakan dengan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Dalam buku baharu berjudul ‘Surviving the Newsroom’, bekas ketua pengarang kumpulan Media Prima Berhad Ashraf Abdullah menggambarkan Lim sebagai seorang ‘doktor perubatan terlatih, perokok tegar, dan miliki watak yang bercanggah dengan imej dirinya’.

“Beliau pantang ditegur berhenti merokok, terutama oleh mereka yang kurang kelayakan daripadanya,” tulis Ashraf dalam buku itu.

Apabila menteri kesihatan ketika itu, Lee Kim Sai, memintanya memadamkan rokok, Lim dikatakan membalas:

“Awak menteri kesihatan yang bukan doktor beritahu saya seorang doktor supaya berhenti merokok. Nampak ada apa-apa tak kena dengan saya?”

Ketika itu, Mahathir tiba-tiba muncul. Lim segera membuang rokoknya dan beri hormat kepada bosnya, tulis Ashraf.

“Orang ini doktor bertauliah. Tak boleh main-main,” kata Lim, seperti yang dipetik dalam buku itu.

Dalam satu lagi kejadian, Lim dikatakan sedang merokok bersama sekumpulan wartawan apabila Mahathir tiba-tiba muncul.

“Kerana sudah terlewat untuk membuang rokok, beliau terus beri rokok itu kepada seorang pegawainya lalu menasihati pegawai itu tentang bahaya merokok,” tulis Ashraf.

“Awak tak patut merokok, anak muda. Ia merosakkan paru-paru,” kata Lim kepada pegawai itu yang terpinga-pinga.

“Mahathir kemudian menghampiri pegawai berkenaan dan dengan tenang berkata: ‘Beri semula (rokok itu) kepada bos awak’.”

Menurut buku itu, Lim yang disenangi wartawan kerana kata-kata spontan dan kemurahan hatinya, serta turut diingati kerana satu ciri lain — hipersalivasi atau masalah air liur berlebihan.

Masalah ini menyebabkan air liur beliau mudah terpercik ketika bercakap, sesuatu yang disedari Lim sendiri.

Surviving the Newsroom Book's
Buku ‘Surviving the Newsroom’ ditulis bekas ketua pengarang kumpulan Media Prima Berhad, Ashraf Abdullah.

Menurut Ashraf, ada seorang wartawan baharu pernah berdiri terlalu hampir dengan Lim, menyebabkan beliau menegurnya: “Awak mesti orang baharu. Mereka tak beritahu awak?”

Wartawan itu pada mulanya keliru, tetapi tidak lama kemudian dia faham apa dimaksudkan Lim, tulis Ashraf.

Lim, yang mengetuai Gerakan selama 27 tahun antara 1980 hingga 2007, berkhidmat sebagai menteri perusahaan utama (1986–2004) dan menteri tenaga, air dan komunikasi (2004–2006) dalam kerajaan Barisan Nasional.

Beliau meninggal dunia pada 2012 pada usia 73 tahun.

‘Surviving The Newsroom’ dijual pada harga runcit RM34.90, tidak termasuk kos penghantaran.

Pembaca yang berminat membeli buku ini boleh menghubungi Ashraf Abdullah di talian 019-2812213.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.