Diskaun, rebat bawah pelan pemulihan pelancongan

Diskaun, rebat bawah pelan pemulihan pelancongan

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata pelan pemulihan itu menyasarkan untuk menarik orang ramai menempah tiket atau pakej pelancongan secara diskaun.

Penumpang rel ditawarkan diskaun tambang dalam usaha kementerian pelancongan memacu pelancongan domestik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian pelancongan hari ini secara rasmi mengumumkan pelan pemulihannya untuk negara, yang melihat diskaun dan rebat ditawarkan kepada pelancong, selain inisiatif bagi “kluster” tertentu diperluaskan secara berperingkat bagi memacu pelancongan domestik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata, pelan pemulihan itu menyasarkan untuk menarik orang ramai menempah tiket atau pakej pelancongan secara diskaun.

“Adalah diharapkan inisiatif ini akan memulihkan keyakinan orang ramai untuk mengembara, memacu pelancongan domestik, selain memaksimumkan sumber sedia ada,” katanya pada pelancaran itu.

Tambahnya, inisiatif di bawah pelan itu termasuk menawarkan “diskaun, baucar dan rebat”, telah dilaksanakan pada 29 April tetapi dihadkan kepada kluster pengangkutan awam dan persatuan pelancongan.

Jelasnya, bagi kluster pengangkutan darat, kementerian bekerjasama dengan KLIA Express dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) untuk menawarkan diskaun tambang antara RM10 hingga RM15, yang mampu memanfaatkan 64,674 pengguna.

Menurutnya, pembelian tiket boleh dibuat sama ada menerusi aplikasi dalam talian KLIA Express atau KTM Mobile, atau di mesin tiket.

Bagi kluster persatuan pelancongan, katanya, pelbagai pakej destinasi pelancongan tempatan melibatkan ejen pelancongan berdaftar boleh ditawarkan menerusi platform beli-belah dalam talian Shopee.

“Rakyat Malaysia boleh mendapat diskaun RM100 bagi setiap pakej percutian bernilai minimum RM200, mulai 29 April hingga 31 Okt tahun ini, dengan tempoh perjalanan sehingga 31 Dis.”

Nancy menambah, setiap pengguna atau pemegang MyKad layak menebus diskaun ini sebaik pembelian dibuat menggunakan Shopee Pay.

Beliau berkata, seramai 14,925 rakyat Malaysia dapat menikmati manfaat ini, dengan kementerian menyasarkan untuk menjual pakej percutian bernilai RM2,985,000.

“Saya menggesa semua rakyat Malaysia merebut peluang keemasan ini dan menikmati diskaun hebat yang ditawarkan.”

Katanya, tiga lagi kluster – penerbangan, penginapan dan kepentingan khas yang merangkumi aktiviti “niche” seperti selam skuba dan golf – juga akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.