Amuk tetak lelaki hendak ke tandas

Amuk tetak lelaki hendak ke tandas

Telinga kanan mangsa berusia 45 tahun putus, selain turut ditetak di leher, dahi, dagu dan bahu dalam serangan menggunakan parang.

Polis berkata kejadian berlaku kira-kira 2.30 pagi semalam semasa buruh yang juga warga Indonesia dikenali sebagai Selamet, hendak ke tandas di luar rumah kongsi.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga asing yang berhajat ke tandas maut selepas ditetak menggunakan parang, dalam kejadian amuk di rumah kongsi di Kampung Semangat, Pekan, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Pekan, Mohd Zaidi Mat Zin, berkata kejadian berlaku kira-kira 2.30 pagi, semasa buruh yang juga warga Indonesia hanya dikenali sebagai Selamet, 45, hendak ke tandas di luar rumah kongsi itu.

“Suspek didakwa muncul secara tiba-tiba dalam keadaan mengamuk dan terus menetak mangsa beberapa kali termasuk di leher, dahi, dagu dan bahu selain turut menyebabkan telinga kanan mangsa putus sebelum meninggalkan lokasi kejadian,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati abang mangsa yang tinggal di situ, melihat suspek mundar-mandir dengan membawa parang kira-kira 30 minit sebelum kejadian, namun suspek kemudian dilihat balik semula ke rumahnya yang terletak kira-kira 50m dari rumah didiami mangsa.

Menurutnya, suspek yang berusia 32 tahun berjaya ditahan semasa berada di tepi Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Kampung Ubai, Kuantan pada 7.30 pagi semalam, yang kemudian membawa kepada penemuan parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.