Aktivis perangi HIV dan tabu seksual senyap-senyap

Aktivis perangi HIV dan tabu seksual senyap-senyap

Ahli Kelab Belia Kebajikan Setia Alam itu melibatkan diri dengan orang ramai di media sosial dan aplikasi 'dating' bagi meningkatkan kesedaran mengenai seks selamat.

Mengakui risiko memandangkan wujudnya tabu mengenai seks di Malaysia, Thakif merahsiakan kerjanya daripada keluarga.
PETALING JAYA:
Jadual harian biasa bagi seorang pemuda yang hanya ingin dikenali sebagi Thakif termasuk melibatkan diri dengan orang ramai di media sosial dan aplikasi “dating” untuk meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS, selain kepentingan amalan seks selamat.

Thakif mewakili Kelab Belia Kebajikan Setia Alam, iaitu sebuah persatuan yang menyediakan kondom dan pelincir percuma, serta ujian HIV kepada sesiapa yang berminat.\

Sasaran kumpulan itu adalah lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, iaitu istilah longgar yang merangkumi homoseksual, biseksual, panseksual dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain dalam persekitaran tanpa wanita seperti penjara atau tentera.

“Saya mengendalikan kawasan Shah Alam dan USJ,” katanya.

Namun katanya, beliau menjalankan khidmat masyarakat terutamanya menerusi aplikasi dalam talian seperti Twitter atau aplikasi “dating” kerana ramai yang enggan mendedahkan mereka terlibat dalam aktiviti seksual sedemikian.

“Kami juga tidak dapat buka ‘booth’ untuk mempromosikan kerja kami kerana wujudnya stigma.”

Thakif berkata, kumpulan itu bukan sekadar menyediakan kondom tetapi juga mendidik masyarakat tentang kepentingan menggunakan perlindungan bagi mencegah HIV.

Pada 2018, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, 57% penularan HIV datang daripada lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Thakif berkata, kumpulannya menyediakan kondom, pelincir dan ujian selain mengendalikan kumpulan sokongan untuk mereka yang positif HIV tetapi tidak mengetahui cara untuk memulakan rawatan. Ia juga mengadakan sesi libat urus mengenai topik-topik berkaitan virus dan kesihatan seksual.

Walaupun beliau merahsiakan kerjanya daripada keluarga dan mengakui risiko yang dihadapi memandangkan wujudnya tabu mengenai seks di Malaysia, beliau tetap gigih dalam usahanya untuk meningkatkan kesedaran tentang HIV.

Sesiapa sahaja berisiko selagi mereka melakukan hubungan seks tanpa perlindungan, bukan hanya lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

“Mereka yang terlibat dalam seks berlainan jantina cenderung percaya mereka tidak berisiko dan selalunya menjalani ujian apabila mereka ingin berkahwin,” katanya.

“Saya mahu tekankan kepentingan menjalani ujian, mengetahui status anda dan pengesanan awal. Jalani ujian setiap tiga bulan jika anda aktif melakukan hubungan seks, setiap enam bulan jika jarang-jarang.

“Walaupun hanya sekali, jalani ujian,” gesanya.

Thakif memetik kes seorang individu yang tidak aktif melakukan hubungan seksual selama lima tahun dan menjalani ujian hanya apabila ingin berkahwin. Dia dikesan positif HIV dan malangnya, tewas dalam perjuangannya melawan virus itu.

Walaupun terdapat tentangan dan kritikan terhadap kerja kumpulannya, Thakif berkata, beliau bertekad untuk meneruskan kerjanya sebagai sebahagian daripada usaha negara untuk mencapai status sifar AIDS menjelang 2030.

Beliau berkata, kumpulan itu mendapat sokongan daripada KKM dan Majlis AIDS Malaysia.

“Saya akan cuba bantu dengan apa cara sekalipun, di mana sahaja yang saya boleh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.