Adakah Sarawak akan dapat geran khas macam Sabah, Wong tanya Abang Jo

Adakah Sarawak akan dapat geran khas macam Sabah, Wong tanya Abang Jo

Ini susulan pengumuman bahawa bayaran tahunan Putrajaya kepada Sabah akan meningkat lebih empat kali ganda tahun ini.

Wong Soon Koh bertanya bilakah Sarawak akan mendapat layanan serupa dengan Sabah daripada kerajaan persekutuan dari segi kewangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua pembangkang Sarawak Wong Soon Koh mahu Premier Abang Johari Openg mendedahkan sama ada negeri itu akan menerima kenaikan yang sama dalam geran khasnya seperti yang diperoleh Sabah daripada Putrajaya.

Ia adalah antara soalan yang dikemukakan oleh presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu di DUN Sarawak yang mula bersidang hari ini.

“Pada 16 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili mengumumkan bahawa Sabah akan menerima kenaikan lima kali ganda dalam geran tahunan persekutuan, mengakhiri perjuangan lima tahun tuntutan kerajaan Sabah

“Bila Sarawak akan dapat layanan dari segi kewangan yang sama, jika bukan lebih baik, daripada kerajaan persekutuan?” soalnya, menurut laporan Borneo Post.

Pada April, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa bayaran tahunan Putrajaya kepada Sabah akan meningkat lebih empat kali ganda – daripada RM26.7 juta sebelum ini kepada RM125.6 juta tahun ini.

Beliau berkata, jumlah ini akan meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023 hingga 2026, mengikut kadar yang dipersetujui bersama oleh Putrajaya dan kerajaan Sabah.

Pada masa yang sama, kerajaan persekutuan dan Sabah akan terus berunding mengenai tuntutan negeri sebanyak 40% hasil daripada Sabah dan mengkaji semula geran khas bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Wong, yang juga ADUN Bawang Assan, turut meminta Abang Johari menjelaskan bagaimana pentadbirannya berharap untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahunan sebanyak 8% apabila kadarnya kekal bawah 5% selama ini.

“Adakah premier telah mengambil kira kemungkinan pergolakan ekonomi serantau dan seluruh dunia serta ketidakstabilan kewangan apabila mengira kadar pertumbuhan pada tahun-tahun menjelang 2030?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.