5 diburu polis dalam kes lelaki maut ditetak di Bukit Mertajam

5 diburu polis dalam kes lelaki maut ditetak di Bukit Mertajam

Polis giat mengesan empat lelaki dan seorang wanita yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar Pulau Pinang.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang wanita kelihatan memegang senjata tajam dengan mangsa parah terbaring di tepi jalan.
BUKIT MERTAJAM:
Polis mengenal pasti identiti lima individu disyaki terlibat menyerang seorang lelaki sehingga cedera parah, selepas ditetak dan ditikam berhampiran sebuah medan selera di Kampung Baru di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, ketika ini pihaknya giat mengesan empat lelaki dan seorang wanita terbabit yang dipercayai bersembunyi di sekitar negeri itu.

“Berdasarkan siasatan, lima suspek tersebut dan lelaki yang maut dalam kejadian itu memang saling mengenali satu sama lain, namun kami masih menyiasat motif sebenar pergaduhan membabitkan mereka.

“Polis kini giat memburu semua yang terlibat dalam kejadian itu dan kami minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek agar menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, laporan bedah siasat mendapati lelaki berusia 30-an itu meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas diserang dengan ditikam, dikelar serta ditetak di seluruh badan oleh kumpulan penyerang itu.

Shafee juga meminta orang awam yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Dalam kejadian 8 malam itu, lelaki yang cedera parah itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.