5 beranak berdepan detik cemas, MPV dihanyut arus deras

5 beranak berdepan detik cemas, MPV dihanyut arus deras

Kejadian itu berlaku apabila pemandu MPV jenis Toyota Avanza itu cuba melalui jalan yang ditenggelami air di Kampung Dingkir Inas, Kuala Pilah.

Kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza berwarna biru yang tersangkut di kawasan semak dipercayai dihanyutkan arus deras di Kampung Dingkir Inas, Kuala Pilah semalam. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Lima beranak, termasuk seorang bayi, berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras banjir susulan hujan lebat di Kampung Dingkir Inas, Kuala Pilah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, kejadian itu berlaku apabila pemandu Toyota Avanza terbabit cuba melalui jalan yang ditenggelami air di kawasan berkenaan.

“Pihak bomba menerima panggilan pada 5.36 petang berhubung kejadian berkenaan. Susulan itu, sepasukan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah bersama dua jentera bergegas ke lokasi dan tiba pada 5.45 petang.

“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah MPV berwarna biru tersangkut di kawasan semak dipercayai dibawa arus dan maklumat diterima menyatakan terdapat lima mangsa terperangkap di dalamnya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, pasukan menyelamat segera mengeluarkan mangsa dengan bantuan orang ramai.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pemandu wanita terbabit dikatakan cuba melalui jalan yang dinaiki air, namun MPV berkenaan dibawa arus deras.”

Katanya, mangsa terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak dan seorang bayi, dengan semuanya dibawa ke petempatan sementara menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.